Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

JPKK Kampung Kassim, MTQ Al-Ahmad Bakal Perintis Tanaman Hidroponik Golden Melon di Tapah

By 17 April 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 17 Apr (MalaysiaAktif) – Projek Tanaman Fertigasi Golden Melon Komuniti Kampung Kassim telah mendapat suntikan dana daripada SejaTi MADANI pada tahun lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kassim Mohamad Zaifarul Zainal Abidin, dana SejaTi MADANI telah diterima bagi menambah penanaman pokok golden melon yang telah pun beroperasi di Perkarangan Maahad Tahfiz al-Quran Al-Ahmad (MTQ Al-Ahmad) yang terletak di Kampung Kassim, di sini.

“Apabila dana peruntukan SejaTi MADANI telah pun diluluskan, kami membuat keputusan setelah berbincang dalam kalangan JPKK untuk menambah penanaman pokok golden melon di sini yang telah pun dilaksanakan oleh pihak tahfiz selama empat musim” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Lokasi Projek SejaTi MADANI Tanaman Fertigasi Golden Melon Komuniti Kampung Kassim.

“Kami juga turut menetapkan pembahagian 50 peratus bagi hasil keuntungan daripada projek ini untuk disalurkan kepada pihak pengurusan pentadbiran tahfiz manakala 50 peratus lagi untuk membantu JPKK bagi menyalurkan dana kebajikan dan pembangunan setempat di kampung ini.

Tambah beliau lagi, projek ini turut mendapat sokongan dan bantuan daripada agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan projek ini berjaya memberikan hasil mengikut kualiti yang diinginkan.

“Di samping itu, dari segi penyelarasan kursus tanaman golden melon, kami turut mendapat sokongan daripada Pejabat Pertanian Daerah Batang Padang dan kerjasama daripada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp.) melalui pusat tahfiz ini,” ujarnya.

Projek ini turut melalui proses inovasi dalam mempelbagaikan medium cara penanaman selain menggunakan teknik fertigasi yang sedang diusahakan, kini.

“Selain itu juga, projek ini melalui MTQ Al-Ahmad telah menerima suntikan dana daripada Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan sebanyak RM50,000 bagi mewujudkan kemudahan rumah hijau dengan menggunakan teknik penanaman hidroponik pertama di sini sebagai projek perinis untuk mempelbagaikan teknik tanaman selain fertigasi.

“Selain menjadi pusat pengeluaran tanaman pokok golden melon, projek ini turut membantu pelajar-pelajar lepasan tahfiz ini dalam menjana pendapatan individu dengan menjadi pekerja bagi menguruskan projek ini,” katanya.

Katanya, projek ini membuka peluang pekerjaan kepada pelajar tahfiz yang tinggal di sini serta akan menjaga dan mengerjakan projek ini serta mereka diberikan gaji.

“Sekiranya, kami menerima lebih banyak suntikan dana peruntukan bagi mengembangkan projek ini, saya percaya, kita dapat meluaskan lagi punca rezeki untuk dirasai juga oleh penduduk setempat bagi meraih sumber pendapatan melalui projek ini,” ujarnya yang yakin dengan impak positif projek ini.

Pengurus tanaman Shahrul Hisyam Mahayudin sedang memeriksa air yang mempunyai kandungan baja bagi tanaman golden melon.

Menurut Pengetua MTQ Al-Ahmad Ahmad Firdaus Mohd Mazlan Kushari, pihaknya mempunyai 2,000 polibeg yang menghasilkan 2,000 buah golden melon.

“Kami mengambil anggaran 80 peratus daripada hasil tanaman ini bagi satu musim dengan anggaran perolehan RM16,000 bagi setiap musim.

“Projek SejaTi MADANI dapat membantu perkembangan ekonomi MTQ Al-Ahmad dan ia sesuatu kerjasama yang sangat baik antara kami dengan JPKK Kampung Kassim,” katanya.

Tambah Ahmad Firdaus lagi, program SejaTi MADANI ini perlu diteruskan di setiap kampung dari masa ke masa.

“Malah, dalam masa yang sama membantu perjalanan kami dari segi pengurusan serta dapat menampung perbelanjaan anak tahfiz, anak yatim dan golongan asnaf di sini.

“Harapan saya, program ini harus diteruskan dan diperkembangkan supaya ekonomi kampung dan penduduk yang tinggal dalam kawasan tersebut dapat dipertingkatkan.

Malaysia Aktif turut diberikan pengalaman untuk melihat sendiri hasil buah daripada pokok golden melon yang masih belum matang untuk musim kali ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda