
Laporan/foto: Abd Aziz Osman (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 19 Apr (MalaysiaAktif) – Lebih 2,000 penduduk tempatan berhimpun dalam satu majlis Tahlil Perdana, di sini kelmarin bagi mengenang jasa dan pengorbanan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, yang telah kembali ke rahmatullah pada Isnin lalu.
Majlis penuh kesyukuran dan penghormatan itu dianjurkan oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sebagai tanda penghargaan terhadap insan yang telah membuka jalan kepada perjalanan politik Allahyarham.

Pelajar-pelajar dari sekolah yang diasaskan oleh Tun seperti MRSM dan sekolah menengah sains turut serta.
Reezal, berkata perkembangan pesat yang dinikmati penduduk Kepala Batas pada hari ini adalah hasil perancangan dan visi jauh Almarhum.
“Jasa Almarhum Tun Abdullah terlalu besar untuk dilupakan.
“Dulu, Kepala Batas hanyalah sebuah pekan koboi yang dikelilingi ladang kelapa sawit, hari ini kita dapat lihat betapa majunya kawasan ini hasil usaha dan perancangan Almarhum Tun Abdullah,” katanya.
Antara pembangunan yang telah dibawa masuk ke kawasan ini termasuklah penubuhan institusi pendidikan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Kolej Jururawat, serta pelbagai fasiliti lain seperti hospital, masjid, perumahan rakyat, hotel, Dewan Milenium, Wisma Kerajaan, dan kawasan perindustrian.
Pembangunan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk asal tetapi turut menarik ramai penghijrah yang mahu menetap dan membina kehidupan di kawasan tumpuan ini.
-ZS-