
Laporan/foto: Aishah Latip /Cassidy Lisut (BKVS)
LUNDU, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan bahawa pembangunan negara MADANI harus dimulakan dengan pengukuhan institusi kekeluargaan. Menurut beliau, penerapan nilai murni dalam keluarga adalah asas penting dalam pembentukan masyarakat dan negara MADANI.

Nancy turut merakam gambar bersama Jabatan Penerangan Daerah Lundu semalam.
“Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang baru ditubuhkan pada April 2024 di bawah Pejabat Perdana Menteri memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kenegaraan dan memperkenalkan nilai-nilai Malaysia MADANI hingga ke akar umbi,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon Sampadi, di sini semalam.
Dalam ucapannya, Nancy juga menekankan bahawa kementeriannya akan terus memperkasa golongan wanita.
“Wanita bukan sahaja harus menjadi pemimpin dalam rumah tangga dan tempat kerja, malah turut memainkan peranan penting sebagai pemimpin dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Nancy turut menggesa agar pendidikan seks di Malaysia diberi perhatian serius.
Menurutnya, pendekatan holistik yang melibatkan sekolah, ibu bapa dan pelbagai agensi kerajaan adalah langkah yang perlu diambil untuk menangani isu ini.

Warga APM Daerah Lundu memegang poskad Rukun Negara yang diedarkan oleh Japen Lundu.
“Isu pendidikan seks tidak boleh dianggap sebagai topik tabu.
“Ia harus dilihat sebagai elemen penting dalam pembentukan nilai dan perlindungan kanak-kanak serta remaja, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia digital,” katanya.
Dengan fokus yang jelas terhadap pengukuhan institusi keluarga dan pendidikan yang lebih komprehensif, Malaysia diharapkan dapat mencapai pembangunan yang lebih inklusif dan berdaya saing dalam era MADANI.
-RJ-