Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Litar Lumba Motosikal Lasak Kelantan jadi Pentas Bakat Baru Sukan Permotoran

By 14 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suhaidi Mat Jusoh

PASIR MAS, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Litar Motocross Pulau Buih, di sini semalam menjadi tumpuan peminat sukan bermotor apabila program Rakan Litar Track Day Kemahiran Latihan Asas Sukan peringkat negeri Kelantan berjaya menghimpunkan lebih 50 pelumba dari seluruh daerah.

Program ini dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBS) dengan kerjasama Kelab Sukan Bermotor Eksplorasi (ELS), Pejabat Majlis Tindakan DUN Chetok (MTD), Persatuan Anak Kangkong Rakan Akrab (PAKRA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Pasir Mas.

Menurut Pegawai JBS KelantanAina Diana Mokhtar, 38, perlumbaan ini merupakan platform untuk memupuk minat terhadap sukan bermotor, di samping menekankan kepentingan keselamatan dan pematuhan undang-undang di litar.

Peserta motorcross Muhammad Fahmi( kiri) bersama ayahnya Fadli Shah (tengah) dan adiknya (kanan) Mohd Faiz.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan 50 pelumba yang mendaftar.

“Dua kategori dipertandingkan iaitu motocross enduro 110cc dan 150cc, dengan setiap peserta perlu menamatkan 12 pusingan sejauh 600 meter setiap satu,” katanya.

Tambah beliau, aspek pematuhan syarat perlumbaan amat diberi penekanan oleh para pengadil yang menilai keupayaan pelumba dan motosikal masing-masing.

Sementara itu, Presiden Kelab Sukan Bermotor Eksplorasi Ir. Mohd Haizul Omar yang juga Ketua Pengadil perlumbaan, memberi taklimat keselamatan kepada semua peserta sebelum pertandingan bermula.

Motocross bukan sahaja memerlukan kelajuan, tetapi juga ketahanan fizikal dan kemahiran teknikal.

“Laluan berbukit, cerun dan lopak menjadi cabaran utama, dan hanya yang kental mampu menamatkan perlumbaan,” katanya.

Mohd Haizul turut menegaskan bahawa hanya motosikal yang selamat, patuh peraturan teknikal dan dalam keadaan sempurna dibenarkan menyertai perlumbaan.

Antara peserta muda yang menarik perhatian ialah Muhammad Fahmi Fadli Shah, 17, dari Tendong, Pasir Mas.

Menurutnya, minat terhadap sukan motocross sudah lama dipupuk bersama rakan-rakan di litar kampungnya dan ini adalah peluang terbaik untuk menunjukkan kemampuan di peringkat lebih tinggi.

“Saya datang bersama keluarga untuk bertanding dan mencuba nasib.

Para pelumba motorcross dengan hadiah dan peminat sukan bermotor bergambar beramai- ramai.

“Sebelum ini saya menang di beberapa lokasi tempatan, siapa tahu hari ini mungkin rezeki saya,” katanya, yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.

Bapanya, Fadli Shah, 47, yang turut hadir memberi sokongan, menyifatkan peranannya sebagai juruteknik dan pendorong utama dalam minat anaknya terhadap sukan bermotor.

“Kita sebagai bapa perlu menyokong minat anak-anak, asalkan mereka berada di landasan yang betul dan selamat,” ujarnya yang juga seorang mekanik.

Dalam perlumbaan tersebut, Mohd Ariff Muhammad muncul juara kategori 110cc, manakala kategori 150cc dimenangi oleh Muhammad Ismail Bakti Zamri – kedua-duanya dari Pasir Mas.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan Mohd Saipuddin Zakaria. Hampir 300 pengunjung termasuk keluarga peserta hadir memeriahkan suasana perlumbaan yang berlangsung dengan lancar dan meriah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda