Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

200 Peserta Meriahkan Program Jom Baca Bersama 10 Minit di Limbang

By 16 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Linda Padan (Sarawak)

LIMBANG, 23 Apr (MalaysiaAktif) – Seramai 200 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk Ketua Jabatan, kakitangan agensi kerajaan, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat, Pengerusi Persatuan dan Komuniti, pelajar sekolah menengah dan rendah serta orang awam telah memeriahkan Program Jom Baca Bersama 10 Minit yang diadakan di Dewan Kampung Bunga Raya pagi tadi.

Sulaiman sedang berucap semasa majlis perasmian Program Jom Baca Bersama 10 Minit.

Majlis perasmian program yang bertemakan galakan budaya membaca ini telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Enggal yang mewakili Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Haji Abdul Rahman Ismail.

Program ini merupakan inisiatif Pustaka Negeri Sarawak, Miri dengan kerjasama Pejabat Residen Limbang, Pejabat Daerah Limbang, Majlis Daerah Limbang, Pejabat Pendidikan Daerah Limbang dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung Bunga Raya.

Dalam ucapannya, Sulaiman menegaskan bahawa amalan membaca dapat melahirkan masyarakat yang aktif, kreatif serta inovatif. Tambah beliau, rakyat yang menjadikan membaca sebagai budaya mampu berfikir secara terbuka, lebih fokus serta melihat sesuatu perkara dari pelbagai perspektif berbeza.

Badar, salah seorang peserta jom membaca Bersama 10 minit.

Ketua Kampung Penapak, Badar Osman, 67, turut menyambut baik penganjuran program tersebut kerana ia berjaya menyuntik semangat membaca dalam kalangan masyarakat dari pelbagai peringkat usia, sekali gus menyemai sikap membaca sebagai rutin harian.

Program ini dilihat bukan sahaja sebagai satu langkah positif ke arah pembudayaan ilmu, malah turut memperkukuh hubungan antara agensi, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda