
Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof
KUALA KRAI, 20 Apr (MalaysiaAktif) – Jabatan Perikanan Malaysia melalui Bahagian Biosekuriti Perikanan telah menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas projek penternakan ikan keli kanvas SejaTi MADANI di Kuala Pertang bagi memastikan tahap kesihatan ternakan berada dalam keadaan terkawal dan bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.

Pegawai Biosekuriti sedang mengukur untuk melihat saiz ikan keli yang diambil
Pemeriksaan ini merupakan sebahagian daripada Program Survelan Penyakit Ikan yang bertujuan memantau dan mengawal penularan penyakit dalam industri akuakultur.

Pegawai Perikanan Daerah Kuala Krai sedang beramah mesra bersama penduduk tempatan yang hadir
Langkah ini penting dalam menjamin keselamatan hasil perikanan negara, baik untuk pasaran tempatan mahupun eksport.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPPKP) Kuala Pertang, Adnan Mat Yassin, 64, pemeriksaan tersebut memberi banyak pendedahan baharu kepada penternak tempatan.
“Selama ini kami hanya tahu asas-asas penjagaan. Tetapi dengan tunjuk ajar daripada pegawai yang hadir, kami lebih peka terhadap tanda-tanda awal penyakit, kualiti air serta aspek biosekuriti ladang,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut.
Beliau turut berharap lawatan dan bimbingan teknikal seperti ini dapat diteruskan secara berkala bagi membantu penternak kecil meningkatkan mutu dan pengurusan ladang mereka.
Sementara itu, penduduk tempatan, Mohd Azhar Azmi, berkata inisiatif tersebut telah menyuntik semangat baharu dalam kalangan komuniti.
“Ia memberi keyakinan kepada kami untuk terus menjayakan Projek SejaTi MADANI demi kelangsungan ekonomi kampung ini,” ujarnya.
Projek SejaTi MADANI yang diterajui komuniti setempat dilihat sebagai model penternakan moden berasaskan kanvas yang mampu menjadi sumber pendapatan mampan jika dibangunkan secara sistematik dengan sokongan teknikal yang berterusan.
-AA-