
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 24 Apr (MalaysiaAktif) – Seramai 89 orang calon SPM Perlis, telah berjaya mendapat keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri Perlis berbanding 50 orang calon SPM pada tahun 2023.

Sesi pemakluman keputusan SPM Perlis tahun 2024 oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Che Ros Aza Che Arifin, berkata bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran pula seramai 627 orang calon berbanding 533 orang pada 2023.

Sesi penerangan kepada media mengenai keputusan SPM 2024 untuk negeri Perlis
“Seramai 1,042 calon pula telah memperoleh sekurangnya lulus dalam semua mata pelajaran berbanding 972 calon SPM pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2024 di Jabatan Pendidikan Negeri, hari ini.
Tambahnya, seramai 3,551 calon yang berdaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di 36 pusat peperiksaan yang disediakan dengan 95 mata pelajaran ditawarkan melibatkan 182 kertas peperiksaan.
“Nilai Gred Purata Negeri (GPN) bagi negeri Perlis untuk SPM tahun 2024 adalah sebanyak 4.57 mata berbanding 4.74 mata pada tahun lepas (2023) iaitu mengecil sebanyak 0.17 mata,” ujarnya.
Bagi calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) pula, seramai 20 calon telah menduduki peperiksaan pada tahun ini dan 17 calon layak diberi sijil berbanding 8 calon pada tahun 2023.
Calon-calon pada hari ini, boleh memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia hari ini di sekolah masing masing mulai jam 10.00 pagi dan calon persendirian pula boleh mendapatkan keputusan tersebut di Jabatan Pendidikan Negeri.
-AA-