
Laporan/foto: Joshua Amir Sibat (Sarawak)
MUKAH, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Pesta Kaul Mukah 2025 yang berlangsung pada 25 hingga 27 April terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan budaya masyarakat Melanau apabila sambutan tahun ini diserikan dengan pelbagai aktiviti tradisional dan moden, menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.

Edmund meneruskan tradisi Seraheng Kakan sebagai lambang penghormatan kepada penjaga alam dalam Pesta Kaul Mukah 2025
Menurut Bapa Kaul, Edmund Slman Tuna, 65, struktur upacara utama masih mengekalkan elemen tradisi seperti Seraheng Kakan, iaitu dulang persembahan kepada penjaga alam, namun pengisian program tahun ini lebih meriah dengan pelbagai aktiviti pada waktu siang dan malam.

Penghulu Harbi berkongsi evolusi Kaul daripada upacara laut kepada sambutan budaya yang inklusif dan penuh warna-warni.
Penghulu Pekan Balingian, Harbi Bakir, menjelaskan bahawa Kaul pada asalnya merupakan upacara pemujaan laut yang diamalkan oleh masyarakat Melanau, namun kini telah diperluaskan dengan pelbagai pengisian seperti pameran komuniti, jualan kraftangan dan sukan tradisional.

Sanggar Tari Lamin Dana mempersembahkan tarian tradisional Melanau, menghubungkan warisan lama dengan generasi baharu.
Wendy Ho Ling Mei, 18, dari Sanggar Tari Lamin Dana berkata, Pesta Kaul menjadi platform penting untuk generasi muda memahami serta memperkenalkan budaya Melanau kepada masyarakat umum.
“Saya berbangga dapat mempersembahkan tarian tradisional kepada orang ramai dan mempromosikannya melalui media sosial,” ujarnya.
-RJ-