
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Shamsul Bahari Abd Shukor
PERMATANG PAUH, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Jualan Jimat MADANI mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai bagi mendapatkan barang keperluan harian dengan harga yang lebih murah, di sini kelmarin.
Program ini memberi manfaat besar kepada rakyat apabila barangan keperluan harian ditawarkan pada harga lebih rendah dengan penjimatan sehingga 30 peratus.

Jualan Jimat MADANI meriah dengan kehadiran penduduk setempat.
Menurut salah seorang pengunjung Nursazlina Mohd Zain, 43, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk jimat berbelanja.
“Berbaloi datang hari ini, saya dapat jimat banyak dan harap jualan seperti ini diadakan lebih kerap di sini.
“Ini betul-betul membantu kami sebagai pengguna,” katanya.
Program yang mendapat sambutan hangat itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abd Hamid, sekali gus menzahirkan sokongan kerajaan negeri terhadap inisiatif membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif EZYMasak Marketing Sdn. Bhd. Sajahan Salman Baris selaku pembekal, berkata jualan tersebut menawarkan harga istimewa termasuk ayam pada harga RM10 seekor dan daging tempatan RM28 sekilogram tanpa sebarang had pembelian.
“Kami komited untuk terus menyokong program seperti ini demi kesejahteraan pengguna,” katanya.
-ZS-