
Laporan/foto: Ahmad Idham Abd Hamid/Normaisarah Abd Rahman (Kuala Lumpur)
BUKIT BINTANG, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Sukan bola pikel kini semakin digemari dan mendapat perhatian peminat sukan di Malaysia.
Sukan ini telah diperkenalkan pada tahun 1965 di Amerika Syarikat dan telah berkembang menjadi sukan antarabangsa.
Meskipun bola pikel dilihat antara sukan yang tidak memerlukan pergerakan yang banyak namun, keunikannya dengan menggunakan sebesar seperempat saiz gelanggang tenis telah menjadi sukan pilihan bagi mereka yang ingin kekal aktif dan bersosial.
Bola Pikel menawarkan pelbagai manfaat kesihatan termasuk meningkatkan stamina, kekuatan otot dan koordinasi selain merupakan cara terbaik untuk bersosial kerana boleh dimainkan secara beregu atau perseorangan.
Pejabat Ahli Parlimen Bukit Bintang dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen (MPP) Bukit Bintang mengambil inisiatif untuk mengadakan Pertandingan Bola Pikel Tertutup melibatkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan serta komuniti yang bergiat aktif di sekitar Parlimen Bukit Bintang.

Tun Mohd Muaazam.
Program ini telah diadakan di Stadium Pickleball, Kenanga Wholesale City Fashion Mall, di sini Sabtu lalu.
Menurut Pegawai Belia Dan Sukan Parlimen Bukit Bintang Tun Mohd Muaazam Mustafa Albakri, Malaysia telah menyaksikan peningkatan daripada segi minat terutamanya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur di mana sukan rekreasi ini semakin popular.
“Walaupun ia belum meluas seperti badminton yang merupakan sukan raket utama di negara ini, pickleball perlahan-lahan mula membentuk komuniti dalam Malaysia amnya dan di Kuala Lumpur khususnya,” katanya.
Menurut Ketua Penganjur, Lew Kok Kiat, 49, beliau berpuas hati dengan kehadiran dan penyertaan peserta untuk Program ini.
“Pada hari ini ada beberapa jabatan dan agensi yang mengambil bahagian antaranya Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Lew Kok Kiat.
Lew Kok Kiat yang juga Pengerusi MPP Sub Zone 2, Parlimen Bukit Bintang merangkap Ketua Komuniti MADANI Bukit Bintang Zone 2, berkata beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti setempat juga menyokong penuh usaha penganjuran serta penyertaan dalam program ini bagi memastikan masyarakat Malaysia sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan.
Sementara itu, salah seorang peserta, Emily Sim Foo Lan, 53, berkata komuniti di sekitar kawasan Parlimen Bukit Bintang sangat menyokong kehadiran sukan baharu ini walaupun ada yang menyatakan bahawa dalam kalangan peminat sukan raket seperti badminton dan tenis yang seakan-akan ‘kurang senang’ dengan kehadiran sukan berkenaan.
“Orang ramai sepatutnya menyambut baik sukan pickleball kerana ia juga sebahagian daripada pilihan gaya hidup sihat,” katanya.
Petugas daripada DBKL, Mohamad Chukry Ghazali, 28, berpendapat sukan ini berpotensi untuk berkembang dengan pesat kerana ia menarik pemain muda yang mencari alternatif yang menyeronokkan dan kurang intensif berbanding sukan raket tradisional.
“Dalam beberapa tahun akan datang, kita mungkin akan melihat lebih banyak gelanggang pickleball dibina, kejohanan-kejohanan akan dianjurkan bahkan pasukan kebangsaan bakal dibentuk kerana sukan ini semakin popular di Malaysia,” katanya yang begitu teruja menyertai program tersebut.
Sukan bola pikel ini dilihat mampu memberi banyak faedah kepada masyarakat dan industri sukan tanah air khususnya dari segi membantu pertumbuhan ekonomi negara menerusi aspek pemasaran dan peralatan sukan.
Ia juga dapat memastikan rakyat Malaysia dapat sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat melalui sukan yang mereka minati.
Turut hadir Pengerusi MPP Parlimen Bukit Bintang mewakili Ahli Parlimen Bukit Bintang Ben Fong.
-ZS-