
Laporan/foto: Khairul Othman (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Suasana penuh harmoni mewarnai Sambutan Hari Raya 2025 Komuniti MADANI Gugusan Ulu Muar bersama Suku Tanah Datar 48 yang berlangsung di Telapak Ibu Soko Cik Puan Noraini Mohd di Kampung Ibol, di sini kelmarin.

Suasana tahlil di Telapak Ibu Soko Kanan Suku Tanah Datar 48.
Program dimulakan dengan majlis tahlil diikuti ceramah bertajuk Adat Menjemput Suami yang Kematian Isteri bagi mengupas kepentingan memelihara adat dan adab dalam mempertahankan warisan Adat Perpatih khususnya dalam Suku Tanah Datar 48, Luak Ulu Muar ini.
Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Kerapatan Adat Luak Ulu Muar Dato’ Paduka Besar Hj Muhamad Darus Shamsudin, yang menyeru masyarakat agar terus mempertahankan adat warisan sebagai identiti bangsa.
“Jika bukan kita siapa lagi yang meneruskan tradisi ini terutama adat perpatih yang hanya diamalkan di Negeri Sembilan,” ujarnya.

Dato Somojo Abu Hassan Mohd Nor menyampaikan Ceramah ‘Adat Menjemput Kematian Isteri’.
Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah Shaharuddin Daud turut menyampaikan ucapan menzahirkan komitmen Jabatan Penerangan dalam memperkukuh kerjasama bersama Komuniti MADANI untuk memperkasakan perpaduan dalam masyarakat.
“Seiring dengan Rukun Malaysia Madani, kemampanan Adat Perpatih dalam memastikan kesejahteraan masyarakat dalam Negeri Sembilan khususnya di Kuala Pilah menjadikan nilai ihsan dan hormat sentiasa mekar dalam jiwa setiap ahlinya” ujarnya ketika menyampaikan ucapan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Menanti Ustaz Muhammad Sufian Maradzi dan kepimpinan setempat.
-ZS-