
Laporan/foto: Mohd Fauzan Mahari
PASIR PUTEH, 29 Apr (MalaysiaAktif) – Suasana penuh kegembiraan dan kebersamaan di perkarangan Masjid Batu Hitam apabila Komuniti MADANI Batu Hitam meraikan hari terakhir bulan Syawal dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, semalam.

Penduduk Kampung Batu Hitam sedang menikmati jamuan hari raya
Program yang diadakan ini menyaksikan penduduk setempat berganding bahu dalam gotong-royong menyiapkan juadah untuk jamuan Hari Raya, selain turut diadakan Jualan Rahmah bagi memeriahkan suasana.
Kehadiran masyarakat sekitar membangkitkan semangat perpaduan dan menjadikan acara ini lebih bermakna.

Penduduk hadir memeriahkan jamuan hari raya di penghujung syawal
Pengerusi Komuniti MADANI Batu Hitam, Hasbullah Deraman, berkata sambutan ini bertujuan mempereratkan hubungan silaturahim sesama penduduk di samping memperkukuhkan semangat kerjasama dalam komuniti.
“Syawal adalah bulan penuh rahmat dan keberkatan. Dengan merayakannya bersama-sama, kita bukan sahaja meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga memperlihatkan keindahan nilai persatuan dalam komuniti,” katanya.
Majlis ini turut menjadi medan untuk mengeratkan hubungan antara generasi, apabila golongan muda turut mengambil bahagian aktif dalam aktiviti, sekaligus membantu melestarikan tradisi dan budaya tempatan.
Program seperti ini membuktikan bahawa sambutan Syawal lebih bermakna apabila diraikan dengan semangat kebersamaan, sesuai dengan aspirasi Komuniti MADANI untuk memperkukuh keharmonian dan perpaduan di peringkat akar umbi.
-AA-