
Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Amirul Faisal Rastan
GUA MUSANG, 29 Apr (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) digesa untuk lebih komited dalam melaksanakan peranan mereka sebagai ejen persekutuan bagi menyampaikan maklumat dan penerangan tepat kepada masyarakat.

Ucapan ADUN Galas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Syahbuddin Hashim, berkata JPKKP mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan setiap dasar, program dan bantuan kerajaan pusat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Komitmen JPKKP sebagai ejen persekutuan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu kewajipan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya ketika merasmikan Taklimat Kepimpinan Komuniti MADANI yang diadakan di Dewan Kompleks Perdana, Gua Musang semalam.
Sementara itu, Pengerusi JPKKP Mukim Renok Baru Mohd Zailani Mohd Noor, menekankan bahawa ahli JPKKP perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk memperkukuh keupayaan serta kompetensi sebagai pemimpin di peringkat kampung.

Pengerusi JPKKP Mukim Renok Baru.
“Komitmen ini juga bermaksud kita perlu bersedia untuk berubah mengikut cabaran zaman, termasuk menguasai teknologi, mendekati generasi muda dan berfikir secara kreatif dalam menyelesaikan masalah komuniti,” katanya.
Program turut diserikan dengan taklimat daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Penerangan (JaPen) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), selain penyampaian plak penghargaan kepada JPKKP dari Daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.
-ZS-