
Laporan/Foto: Florence Sebastian Unting / Rosmina Abang
Saratok, 29 Apr (MalaysiaAktif) – Sempena musim menuai, semangat gotong-royong terus disemarakkan oleh Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Daerah Saratok melalui penganjuran aktiviti berdurok bersama komuniti setempat di sawah milik Darna Majeni, 69, seorang pesawah tempatan.

Darna Majeni berterima kasih atas sokongan PPWS Saratok yang membantu mempercepatkan kerja menuai padinya semalam.
Berdurok, dalam Bahasa Iban dan Bahasa Melayu Sarawak, merujuk kepada amalan gotong-royong, khususnya dalam kerja menuai padi secara bersama. Tradisi ini bukan sahaja membantu mempercepatkan kerja menuai, malah mengukuhkan ikatan silaturahim serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi PPWS Saratok, Razenah Sapawi, 66, berkata bahawa penganjuran aktiviti ini sejajar dengan peranan PPWS sebagai pemangkin pembangunan wanita dan komuniti.
“Berdurok mempereratkan hubungan sosial antara ahli PPWS dan masyarakat. Suasana bekerja bersama menjadi lebih ringan, ceria dan penuh semangat kekitaan,” jelasnya.
Tambah beliau, aktiviti ini turut mengajar nilai prihatin dan semangat bantu-membantu, khususnya dalam menghadapi musim menuai yang memerlukan tenaga dan kerjasama ramai.
Darna Majeni turut meluahkan penghargaan terhadap kehadiran PPWS yang bukan sahaja mempercepatkan proses menuai, tetapi memberi dorongan moral kepada dirinya.
“Saya amat berterima kasih atas bantuan dan sokongan yang diberikan. Kehadiran mereka sangat bermakna bagi saya,” katanya ketika ditemui di sawahnya semalam.

Razenah Sapawi, turut serta menuai padi bersama ahli PPWS, mencerminkan kepimpinan berjiwa rakyat dan semangat gotong-royong.
Razenah turut menekankan bahawa semangat berdurok yang terjalin di sawah harus diteruskan dalam kehidupan seharian bagi memperkukuh perpaduan komuniti.
“Budaya ini perlu dikekalkan dan diperluas kepada aktiviti lain PPWS. Ia bukan sahaja warisan, malah menjadi teladan kepada generasi muda. Bersatu teguh, bercerai roboh,” tegas beliau.
PPWS Saratok berikrar untuk terus memperjuangkan budaya tradisi seperti berdurok sebagai medium memelihara warisan, memperkasakan wanita dan menyemai keharmonian dalam masyarakat setempat.
-RJ-