
Laporan/foto: Shamsul Bahari Abdul Shukor
BUTTERWORTH, 30 Apr (MalaysiaAktif) – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor, hadir ke Majlis Makan Malam Junjung Kasih Sanjungan Budi anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di sini kelmarin.

Tun Ahmad Fuzi ketika menyampaikan ucapan.
Majlis penuh penghormatan itu turut disertai oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bersama isteri serta barisan kepimpinan negeri dan jemputan kehormat.
Acara tersebut bukan sekadar majlis simbolik, sebaliknya merupakan manifestasi kasih dan penghargaan seluruh warga Pulau Pinang terhadap jasa dan kepimpinan Tun Ahmad Fuzi sepanjang tempoh empat tahun menerajui institusi tertinggi negeri.
Tun Ahmad Fuzi dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Toh Puan Khadijah Mohd Nor (tengah) bersama isteri-isteri pemimpin negeri.
“Sebenarnya tidak ada buku teks (rujukan) tentang bagaimana nak menjadi seorang Yang Dipertua Negeri yang baik, tetapi saya cuba memainkan peranan secara proaktif dan berwawasan dengan nawaitu untuk bersama-sama menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat dan pembangunan sosio-ekonomi negeri,” jelasnya.
Tun Ahmad Fuzi telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang mulai 1 Mei 2021 dan akan menamatkan penggal perkhidmatan beliau pada hari ini.
Beliau bakal digantikan oleh Tun Ramli Ngah Talib sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ke-9, yang akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 Mei 2025.
-ZS-