
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Para sukarelawan Borneo Flora Festival@Labuan 2025 (BFF@Labuan 2025) merasa teruja kerana dapat menjayakan satu program besar yang bakal dianjurkan di pulau itu.

Damian Lim teruja menjadi sebahagian Sukarelawan BFF@Labuan 2025
Menurut seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Damian Lim Kim Yung, 23, beliau begitu gembira dapat melibatkan diri menjadi sukarelawan untuk acara yang berprestij itu.
“Saya rasa bersyukur dan gembira kerana pertama kali terlibat menjayakan program yang sebesar ini sekaligus memberi impak kepada saya sebagai seorang mahasiswa.
“Program ini juga mengajar kami menjaga kelestarian alam sekitar dan dapat membantu Labuan dalam penganjuran acara yang memacu sektor pelancongan pulau ini,” katanya ketika ditemui pada Program Sukarelawan Bagi Penghasilan Tanaman Bunga Semusim Sempena BFF@Labuan 2025 di sini semalam.

Nurulhuda Nabilah (paling kiri) sedang memindahkan anak benih tanaman bunga ke dalam polibeg
Seorang lagi pelajar UMS, Nurulhuda Nabilah Abdul Aziz, 23, turut berkongsi perasaan yang sama.
“Saya merasa sangat teruja terlibat dalam Program Sukarelawan BFF@Labuan 2025 kerana pengalaman ini berbeza dengan kerja–kerja sukarelawanan yang pernah saya ikuti sebelum ini.
“Kali ini saya dapat merasai pengalaman dalam bidang pertanian seperti membuat semaian benih dan saya menyeru golongan belia di luar sana agar tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti ini kerana ianya satu program besar yang jarang dianjurkan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan, seramai 1,200 sukarelawan dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah Kota Kinabalu dan Kolej Matrikulasi Labuan, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), penjawat awam serta rakan-rakan NGO menjayakan tiga siri Program Sukarelawan bagi aktiviti semaian dan penanaman 200,000 polibeg tanaman bunga semusim di tapak semaian Pulau Buah.
Borneo Flora Festival@Labuan 2025 yang julung-julung kalinya diadakan ini akan mempamerkan lebih 20 taman bertema yang direka secara kreatif dan luar biasa seperti Laman Magika, Under Water World Garden, Taman Glow In The Dark dan banyak lagi sebagai pilihan spot bergambar menarik untuk para pengunjung.
-AA-