
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 30 pelayar antarabangsa dari seluruh dunia berlabuh di Puteri Harbour, di sini sejak 4 Mei lalu, sempena program Sail Passage to the Langkawi Yacht Rally 2025 bagi menerokai keunikan yang terdapat di Johor.

Keunikan reka bentuk Dewan Mesyuarat Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar mempersona delegasi Sail Malaysia.
Salah seorang pelayar dari Turkiye Yaprak Anadol, berkata pengalaman menerokai Johor sebagai satu pengalaman yang mempersona dan sarat nilai budaya serta alam semula jadi walaupun dalam masa yang sangat singkat.
“Saya sangat kagum dengan pelbagai lokasi menarik seperti reka bentuk Bangunan Sultan Ismail di Kota Iskandar yang menempatkan dewan mesyuarat rasmi Ahli Dewan Negeri Johor selain memberi kefahaman mendalam tentang struktur pentadbiran negara,” katanya ketika ditemui di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini semalam.
Tambah Yaprak, antara pengalaman lain yang dikongsi termasuk menyaksikan ekosistem hutan bakau dan aktiviti pemerhatian burung migrasi di Taman Negara Johor Tanjung Piai di Pontian.

Pelayar dari Turkiye, Yaprak Arnok, menyifatkan pengalaman menerokai Johor sebagai pengalaman yang sarat dengan nilai budaya serta kelestarian alam semula jadi.
“Di sini, saya juga berpeluang melawat ladang nenas dan menyaksikan tarian warisan kebudayaan Zapin Johor serta menikmati pelbagai juadah tempatan yang sangat sedap,” katanya.
Mengulas mengenai inisiatif Tahun Melawat Johor 2026, Yaprak menyokong penuh usaha ini namun beliau turut memberi pandangan mengenai kepentingan penyediaan maklumat pelancongan dalam bahasa antarabangsa.
“Banyak maklumat hanya disediakan dalam Bahasa Melayu dan jika terdapat terjemahan dalam Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya ia akan membantu pelancong asing ketika berada di kawasan-kawasan menarik di luar bandar,” katanya sambil memuji penyampaian maklumat dwibahasa yang baik di Bangunan Sultan Ismail.
-ZS-