
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini
KUALA TERENGGANU, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-63, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Jamuan Bersama Warga Istimewa dan Fakir Miskin yang berlangsung di Dewan Santapan, Istana Syarqiyyah, di sini kelmarin.

KDYMM Sultan Terengganu dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta kerabat diraja mencemar duli di Majlis Jamuan Bersama Warga Istimewa dan Fakir Miskin
Majlis penuh bererti itu dianjurkan oleh Portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional yang dipengerusikan oleh YB Maliaman Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil.
Seramai 400 penerima bertuah dijemput menerima sumbangan diraja, melibatkan 200 warga istimewa termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) melalui penyelarasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 100 ibu tunggal melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), serta 100 golongan fakir miskin melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

KDYMM Sultan Terengganu dan Sultanah Terengganu menyampaikan sumbangan kepada penerima
KDYMM Sultan Terengganu turut berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap penerima sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang kepada rakyat jelata.
Bagi Hasini Harun, 54, seorang ibu tunggal dari Kampung Pasir Panjang, sumbangan tersebut amat bermakna dalam mengurangkan beban perbelanjaan harian.
“Saya sangat terharu dan bersyukur atas keprihatinan Tuanku. Sumbangan ini amat membantu, lebih-lebih lagi menjelang musim persekolahan anak. Ia benar-benar meringankan beban kami sebagai ibu tunggal,” katanya dengan nada sebak.
Turut berangkat memeriahkan majlis ialah KDYMM Sultanah Terengganu, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta kerabat diraja yang lain.
-AA-