
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Kegembiraan jelas terpancar apabila dua pelajar cemerlang dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berjaya mengharumkan nama institusi dengan merangkul Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti 2024.
Majlis berprestij tersebut berlangsung di KSL Esplanade Hotel, Klang, dekat sini kelmarin.

(Dua dari kanan) Nursyafiqah menerima Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 bagi Kategori Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang disampaikan oleh Ts. Mustapha.
Nursyafiqah Mohd Shahrul Anuar, 21, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam dan Naib Pengerusi Kelab Semarak Seni PSA, dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi Kategori Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Kemenangannya diraikan seluruh warga PSA apabila beliau diiktiraf atas penglibatan aktif dan komitmen tinggi dalam bidang seni tari sehingga ke peringkat antarabangsa.
Turut mencipta detik manis ialah Zurain Z. Zaharuddin, 22, pelajar Diploma Pemasaran yang juga Presiden Premier Young Entrepreneur Club PSA.
Beliau diumumkan sebagai penerima Anugerah Gemilang dalam Kategori Keusahawanan Politeknik atas sumbangan besar dan kepimpinan cemerlang dalam bidang keusahawanan yang mencetus inspirasi kepada ramai pelajar lain.
Majlis diserikan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan muzik PSA, SONATA, yang menampilkan persembahan bertenaga sebagai simbol kejayaan mereka menjuarai POLYCC Battle Showdown 2025, sekali gus mengukuhkan reputasi PSA sebagai lubuk bakat pelajar serba boleh.

Zainah bersama para penerima anugerah serta band SONATA yang merupakan para pelajar PSA daripada pelbagai jurusan akademik.
Pengarah PSA Zainah Rujihan menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil usaha berterusan dan sokongan padu daripada warga PSA serta pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
“Kejayaan ini membuktikan pendekatan holistik PSA dalam melahirkan graduan seimbang dan berdaya saing.
“Saya berharap pelajar PSA akan terus melakar kejayaan demi kejayaan bukan sahaja di persada negara malahan di peringkat antarabangsa,” katanya penuh bangga ketika ditemui.
Majlis penganugerahan tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts. Mustapha Sakmud, disaksikan oleh para pengarah institusi serta tetamu kehormat.
-ZS-