
Laporan/Foto: Sumardi Sugiman/Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Kesedaran tentang kepentingan maklumat yang sahih, tepat dan terkini mendorong ibu bapa serta generasi muda Komuniti MADANI Kampung Peninjau Baru bangun awal semalam untuk berkampung di balai raya kampung.
Seawal pukul 9.00 pagi, penduduk tanpa mengira jantina, umur ataupun latar belakang beratur panjang bagi mendaftar menyertai Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Bau.

Bahan penerbitan JAPEN tarik perhatian peserta untuk dapatkan maklumat sahih dan terkini.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Kampung Peninjau Baru, Desmond Andrin Aloi, 67, ada di antara mereka yang mengambil cuti khas supaya tidak terlepas maklumat terkini tentang inisiatif kerajaan dan isu-isu semasa yang dibentangkan.
“Semangat muhibah dan perpaduan begitu ketara, semua mahu dengar sendiri dari sumber rasmi,” ujarnya ketika ditemu ramah semalam.
Program tersebut menumpukan kepada peningkatan kesedaran rakyat tentang prinsip Rukun Negara serta memperkukuh ikatan kekeluargaan dan komuniti bermula di peringkat rumah.

Sesi soal jawab JAPEN Bau perjelas isu semasa kepada komuniti di balai raya kampung di sini, semalam.
Sesi ceramah dan dialog dikendalikan sendiri oleh Pegawai Daerah Bau Sumardi Sugiman, yang berkongsi penerangan mendalam mengenai peranan JAPEN dan bagaimana komuniti boleh memanfaatkannya.
Dengan sambutan hangat seperti ini, Desmond berharap program seumpama akan dipergiatkan lagi untuk memastikan maklumat sampai ke seluruh pelosok masyarakat, sekali gus memperkasakan diri, keluarga dan komuniti melalui nilai-nilai perpaduan yang utuh.
-RJ-