Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

KOPEMAS Buktikan Kejayaan Koperasi Tempatan, Buka Cawangan Keempat

By 43 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)

TAWAU, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Perkembangan positif perniagaan Koperasi Emas Tawau Sabah Berhad (KOPEMAS) terus membuktikan bahawa koperasi tempatan berpotensi menjadi pemain utama dalam ekonomi setempat.

Nizam menyampaikan ucapan semasa merasmikan pembukaan cawangan keempat KOPEMAS.

Bermula dengan hanya satu cawangan, KOPEMAS kini berjaya mengembangkan operasinya dengan pembukaan cawangan keempat, meskipun pernah menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama erat bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang berperanan penting dalam melahirkan usahawan berdaya maju.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada KOPEMAS yang diterajui oleh Puan Kamariah Ahmad kerana berjaya membuka gudang bagi menyimpan barangan keperluan harian. Ini akan memperkemas lagi operasi sektor peruncitan yang telah mereka ceburi sejak 10 tahun lalu.

Kamariah menyerahkan cenderahati kepada Nizam sebagai tanda penghargaan.

“Lebih membanggakan, KOPEMAS kini turut menceburi industri pelancongan. Ini membuktikan peranan penting KUSKOP dalam memperkasa usahawan koperasi,” katanya semasa merasmikan pembukaan cawangan baharu KOPEMAS di Batu 4, Jalan Apas, di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atas sokongan dan bimbingan berterusan kepada koperasi di seluruh negara, termasuk di Sabah.

“Bimbingan daripada SKM telah menjadikan KOPEMAS antara koperasi yang berjaya dan menjadi kebanggaan. Sebagai anak jati Tawau, saya amat teruja melihat kejayaan ini.

Nizam melawat gudang baharu KOPEMAS yang menempatkan barangan keperluan harian semalam.

“Koperasi bukan sekadar menjana keuntungan, tetapi turut memberi manfaat secara langsung kepada ahli-ahlinya. Ini adalah model perniagaan yang patut diterokai oleh masyarakat,” ujarnya.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian bantuan bakul makanan kepada golongan asnaf terpilih serta lawatan ke gudang simpanan barangan keperluan harian milik KOPEMAS.

-RJ-

Tinggalkan komen anda