
Laporan/foto: Azza Azmi/Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Festival IDeA TVET (FESTiVET) 2025 telah berlangsung pada 7 hingga 8 Mei di Politeknik Ibrahim Sultan, menggabungkan empat program utama iaitu International Design Award (IDeA), Pameran VISCOM 40, reruai Jom Masuk POLYCC dan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Aznan berkata TVET boleh berkembang menerusi platform Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) JTDC dalam membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran, seiring keperluan industri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin, berkata program ini memperkukuh usaha memperkenal dan memperluas laluan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan strategik dalam membentuk tenaga kerja mahir dan berdaya saing.
“TVET bukan sekadar latihan, tetapi satu proses pemerkasaan yang membentuk individu celik teknologi, berdikari dan kompetitif di peringkat antarabangsa.
“TVET juga membuka peluang keusahawanan dan ramai graduan kini mengusahakan bengkel, studio kreatif dan pusat latihan sendiri,” katanya ketika berucap sempena majlis perasmian penutup FESTiVET 2025 bertempat di Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini semalam.
Tambah Aznan, Revolusi Industri 4.0 menuntut tenaga kerja yang adaptif dan bersedia menghadapi cabaran global menerusi pendekatan latihan berasaskan industri yang menjadi teras utama laluan TVET.

Aznan menyempurnakan majlis perasmian penutup FESTiVET 2025 dengan menggunakan teknologi realiti maya (VR) yang dibangunkan sendiri oleh pelajar-pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).
“TVET kini diangkat sebagai platform pembangunan modal insan yang mampan, inklusif dan relevan. Ia bukan lagi pilihan kedua, tetapi jalan ke hadapan bagi negara,” katanya.
Turut hadir Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan Ulaimi Yahya, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Kakitangan Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Negeri Johor Noor Azizah, Timbalan Pengarah Unit Inovasi Pusat Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Anwar Hamid, Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor Sarina Taslim dan Ketua Sumber Manusia Johor Port Hermee Tahir.
-ZS-