Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Program Jelajah Sejahtera Desaku Santuni Masyarakat Desa

By 8 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Muhammad Abdul Hadi (Kuala Kangsar)

KUALA KANGSAR, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Program Jelajah Sejahtera Desaku@DUN Bukit Chandan di Dewan Terbuka Kampung Senggang, di sini pagi tadi bukan sekadar mengoptimumkan impak dalam mensejahterakan rakyat secara menyeluruh malah selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyantuni masyarakat desa secara holistik.

Mohd Zolkafly ketika berucap merasmikan majlis.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun, usaha kerajaan negeri menyantuni masyarakat desa adalah untuk memastikan tiada desa yang ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Kejayaan program ini tahun lepas yang merangkumi 20 program setiap daerah telah mendapat perhatian positif daripada Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Justeru, Datuk Seri melalui Belanjawan Negeri Perak Tahun 2025 mengumumkan inisiatif Jelajah Sejahtera Desaku Negeri Perak Tahun 2025 sebagai salah satu elemen memperkasa pentadbiran kampung melalui aktiviti yang dapat mensejahterakan komuniti desa,” katanya ketika berucap.

Jelas beliau, kerajaan hari ini cukup responsif terhadap keperluan rakyat, bahkan sangat komited memberikan kualiti kehidupan terbaik kepada rakyat negeri Perak.

“Kerajaan negeri akan berusaha memastikan setiap rakyat tanpa mengira lokasi atau latar belakang mendapat manfaat daripada pembangunan negeri yang dilaksana secara adil dan menyeluruh,” ujarnya.

Mohd Zolkafly turut meninjau Jualan Rahmah barang keperluan dapur termasuk bahan mentah seperti ikan dan ayam yang mendapat sambutan menggalakkan.

Hadir sama Pegawai Daerah Muhammad Nazri Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Dr Sakduddin Zamli.

Program turut dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik termasuk perkhidmatan gunting rambut dan tukar minyak hitam secara percuma, pertandingan memasak, pameran jabatan dan agensi serta Jualan Rahmah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda