
Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Aznan Tamin (Johor)
JOHOR BAHRU, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai sekolah harian pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan Apple Distinguished Schools, mengukuhkan komitmen Kerajaan Negeri Johor terhadap pendidikan digital.

Kerjasama antara Kerajaan Negeri, Yayasan Raja Zarith Sofiah, Apple Education dan QSR Brands telah menghasilkan agihan 2,496 unit iPad kepada murid dan guru, lengkap dengan ekosistem Apple dan latihan guru melalui program Apple Teacher
Sekolah-sekolah yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, SMK Kota Puteri, dan SK Kota Puteri 4 di Pasir Gudang.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin, berkata pengiktirafan ini diumumkan dalam Sesi Libat Urus SRBJ 2025 bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang berlangsung di SMK Tasek Utara, di sini semalam.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM29 juta bagi menjayakan transformasi infrastruktur pendidikan secara menyeluruh di empat buah SRBJ.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyaksikan persembahan salah seorang pelajar SMK Tasek Utara menggunakan aplikasi papan pintar (smartboard) yang terdapat di bilik darjah
“Inisiatif tersebut merangkumi pemasangan papan pintar (smartboard) di semua bilik darjah, penyediaan kemudahan internet berkelajuan tinggi, penubuhan makmal sains digital serta bengkel realiti tambahan (AR) dan realiti maya (VR) yang dijangka merubah pendekatan pembelajaran generasi masa depan,” katanya.
Tambah Aznan, bagi memperkasakan pengajaran dan pembelajaran, sebanyak 2,496 unit iPad juga telah diagihkan kepada guru dan murid, lengkap dengan akses kepada ekosistem pembelajaran Apple serta latihan profesional melalui program Apple Teacher.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan cek cura bernilai RM2 juta daripada QSR Brands kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor sebagai sokongan terhadap inisiatif transformasi digital SRBJ.
“Komitmen korporat ini membuktikan keyakinan sektor swasta terhadap potensi pendidikan Johor dalam melahirkan generasi yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor merangkap ADUN Larkin Mohd Hairi Mad Shah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Mohd Hanafi Samad, Pengetua SMK Tasek Utara Puan Mislina Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor Hishamuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Jenama QSR Brands (M) Holdings Bhd Ridzwan Othman, dan Leadership & Learning Executive (South Asia), Apple Dr. Robert Appino.
-AA-