
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah
MACHANG, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Aktiviti tradisional menggagau ikan yang semakin jarang dilakukan hari ini kembali menghidupkan suasana kampung di Laklok apabila ia dijadikan aktiviti utama dalam Program JIWA@Komuniti MADANI: Program Kemasyarakatan Komuniti MADANI Laklok, yang berlangsung pagi kelmarin di Anjung Komuniti MADANI Laklok.
Menurut penganjur dan Ketua Komuniti MADANI LakLok Tengku Ghazali T. Jusoh, menggagau ikan iaitu menangkap ikan menggunakan tangan di dalam parit bukan sekadar aktiviti santai malah menjadi medium pendidikan tidak formal kepada generasi muda untuk memahami pentingnya memelihara ekosistem semula jadi.

Permainan sukan rakyat yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Gagau ikan memerlukan kemahiran dan kesabaran.
“Ia bukan sekadar mengimbau nostalgia, tetapi juga mampu mendidik nilai kerjasama serta ketekunan dalam kalangan peserta,” ujar penganjur program.
Program tersebut turut diserikan dengan pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan memancing, sukan rakyat, pertandingan mewarna kanak-kanak Tabika KEMAS, serta acara interaktif “Semakin Jauh, Semakin Sayang” yang menarik penyertaan pelbagai lapisan usia.
Perasmian disempurnakan oleh Penolong Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu (GSPI), Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Nadiya Haneem Zaminudin, yang mewakili Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan.

Ucapan perasmian oleh Penolong Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu (GSPI), Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Nadiya Haneem Zaminudin.
Dalam ucapannya, Nadiya menegaskan bahawa Komuniti MADANI berperanan penting sebagai jentera barisan hadapan kerajaan dalam menyampaikan maklumat sahih, sekali gus membantu mengekang penularan maklumat palsu yang boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat dan negara.
“Komuniti MADANI juga memainkan peranan dalam mendidik orang ramai tentang keselamatan digital dan bahaya penipuan dalam talian,” tambah beliau.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Plantation Sdn. Bhd., Mohd Fakaaruddin Ismail dan Ketua Komuniti MADANI Laklok, Tengku Ghazali T. Jusoh.
Program sebegini bukan sahaja mengangkat kembali tradisi kampung, malah membuktikan pendekatan komuniti sebagai wadah efektif dalam memperkukuh nilai perpaduan dan kesedaran sivik.
-ZS-