Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPulau Pinang

Fantastic Food Fest By Kak Nab Gegar Bertam

By 6 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan foto: Nur Rezwane Md Zabidi/Ainol Zulkarnain

KEPALA BATAS, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Festival makanan yang dinanti-nantikan, Fantastic Food Fest 11.0 by Kak Nab, kembali memeriahkan Dataran Bertam selama empat hari bermula 8 Mei hingga semalam, menarik lebih 10,000 pengunjung.

Antara gerai jualan yang turut serta di festival ini.

Dengan lebih 100 gerai menyajikan aneka juadah tradisional dan moden, festival ini bukan sahaja membangkitkan selera malah menjadi pentas meraikan kekayaan kulinari tempatan.

Tumpuan utama sudah pasti tertumpu kepada gerai milik pengasasnya sendiri Kak Nab, yang memperkenalkan hidangan baharu Laksa Kebun Bertam yang menggunakan herba segar yang ditanam sendiri di kebunnya.

“Kita bukan sekadar menjual makanan, kita menghidupkan semula rasa kampung warisan nenek moyang dan menyatukan masyarakat melalui makanan,” ujar Kak Nab.

Pelbagai acara sampingan turut mencuri tumpuan termasuk pertandingan memasak, demonstrasi masakan secara langsung, persembahan kebudayaan serta sesi makan pedas beramai-ramai yang mencuit hati dan mengundang gelak tawa pengunjung.

Antara barisan pempengaruh yang turut sama memeriahkan festival ini.

Kemeriahan festival turut membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan di mana ramai peniaga melaporkan hasil jualan yang memberangsangkan dengan sebahagian mereka kehabisan stok seawal tengah hari.

Bagi pengunjung setia festival ini Nurul Aina, 28, edisi kali ini paling meriah pernah dihadiri.

“Setiap tahun saya datang, tapi tahun ni paling meriah.

“Laksa Kak Nab memang luar biasa, patutlah viral di TikTok,” katanya.

Dengan sambutan yang begitu hangat, Fantastic Food Fest 11.0 sekali lagi membuktikan bahawa festival kulinari seperti ini bukan sekadar pesta makanan tetapi menjadi pemangkin memartabatkan warisan masakan serta memperkukuh ekonomi komuniti tempatan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda