
Laporan/foto: Abd Aziz Osman/Shamsul Bahari Abdul Shukor
KEPALA BATAS, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Satu seminar khas bagi memperingati dan mengangkat pemikiran Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bakal diadakan dalam masa terdekat, sebagai satu usaha menghargai jasa beliau kepada negara sepanjang penglibatannya dalam perkhidmatan awam dan arena politik.

Ahmad Zahid ketika berucap di Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata seminar berkenaan akan menghimpunkan kumpulan intelektual, sejarawan dan ahli profesional khususnya dalam kalangan kepimpinan serta ahli UMNO.
“Seminar ini bertujuan mencungkil dan mendalami pemikiran serta gagasan Pak Lah dalam pelbagai bidang sepanjang kariernya dalam perkhidmatan awam dan politik.
“Ini sebagai tanda menghargai jasa-jasa Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi, selain daripada mengabadikan nama Maktab Rendah Sains Mara (MARA) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berlangsung di Dewan Dato’ Abdul Fatah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan pihak pengurusan MRSM agar melaksanakan seminar berkenaan dalam tempoh sebulan.

MRSM Kepala Batas kini dikenali sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi
Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah pusat penyelidikan yang dikenali sebagai Institut Kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai wadah pengkajian pemikiran serta sumbangan Allahyarham kepada politik dan sejarah negara.
Tun Abdullah merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal berturut-turut dari tahun 1978 hingga 2008, dan memainkan peranan penting dalam pembangunan kawasan tersebut termasuk penubuhan MRSM Kepala Batas yang dirasmikannya pada 29 Mac 2009.
Antara legasi terbesar beliau dalam bidang pendidikan ialah pengenalan program Ulul Albab MRSM, yang menggabungkan pendekatan pendidikan duniawi dan ukhrawi secara dualistik.
Hasil cetusan idea ini, MARA kini memiliki lapan MRSM Ulul Albab di seluruh negara yang bakal melahirkan ahli profesional, teknokrat dan usahawan yang berteraskan nilai-nilai Islam yang syumul.
-AA-