
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Dungun)
DUNGUN, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Suasana penuh muafakat dan semangat kebersamaan jelas terpancar apabila hampir 80 peserta berganding bahu membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyior dalam program gotong-royong anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Dungun, di sini kelmarin.

Mejar Mustaffar berharap program sebegini menjadi acara berterusan
Program komuniti yang turut disertai oleh klien AADK, Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, Komuniti MADANI serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Nyior ini berjaya mewujudkan jalinan erat antara pelbagai lapisan masyarakat dan agensi kerajaan.

Program gotong-royong ini wujudkan jalinan erat antara pelbagai lapisan masyarakat dan agensi kerajaan
Ketua Komuniti MADANI Kampung Nyior Mejar (B) Mustaffar Saleh, 58, berkata inisiatif seperti ini bukan sahaja bertujuan menjaga kebersihan tanah perkuburan sebagai tempat persemadian akhir insan yang telah pergi, malah menjadi platform menyemai rasa tanggungjawab dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Islam.
“Selain memuliakan tempat ini, gotong-royong ini juga menyatukan komuniti. Ia peluang untuk semua termasuk klien AADK rasa diterima dan dihargai,” katanya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat setempat terus membuka hati menerima individu dalam proses pemulihan sebagai sebahagian daripada komuniti.
“Mereka perlu ruang dan peluang untuk kembali menyumbang kepada masyarakat. Kita tidak boleh menyisihkan mereka,” ujarnya.
Mejar Mustaffar mengakhiri program dengan harapan agar program sebegini menjadi acara berterusan, bukan hanya di Kampung Nyior tetapi di seluruh daerah bagi mengukuhkan silaturahim dan semangat Komuniti MADANI yang inklusif dan prihatin.
-AA-