
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud | Kota Kinabalu
KOTA KINABALU, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya dengan penekanan terhadap pemantapan gaya hidup sihat rakyat, khususnya di Sabah, menerusi kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, swasta, komuniti dan rakyat.

Abd Lajid semasa sesi temubual Program Influencer@JAPEN Sabah bersama Pegawai Penerangan, Fauzrina Bulka.
Ketua Penolong Pengarah Cawangan Promosi Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Abd Lajid Abu Hassan berkata, ANMS dilaksanakan bagi memastikan rakyat kekal sihat sepanjang hayat menerusi pendekatan pencegahan serta penglibatan aktif masyarakat.
“Empat objektif utama ANMS adalah mempromosikan budaya hidup sihat, mewujudkan kesejahteraan kesihatan, memperkasa kawalan kesihatan kendiri, serta meningkatkan kebersihan persekitaran. Pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan perubahan tingkah laku rakyat agar lebih proaktif menjaga kesihatan diri.
“Setakat ini, hampir 94 peratus agensi kerajaan di Sabah menyokong pelaksanaan ANMS, membuktikan keberkesanan pendekatan menyeluruh yang digariskan,” katanya semasa Program Influencer@JAPEN Sabah di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, penglibatan golongan muda menjadi antara tumpuan utama pelaksanaan ANMS melalui media sosial, kempen kesihatan serta peranan sebagai ejen penyampai maklumat kepada komuniti.
“Zaman sekarang milik orang muda. Mereka bijak memanfaatkan platform seperti TikTok dan Instagram. Gunakan kelebihan itu untuk menyampaikan mesej kesihatan kepada masyarakat,” katanya.
Antara inisiatif utama di bawah ANMS termasuk Jelajah ANMS, Bulan Malaysia Sihat Sejahtera, pusat sehenti Wellness Hub, kempen kebersihan persekitaran Warna Malaysia Clean-Up, perkhidmatan bergerak Wellness on Wheels (WoW), dan pendaftaran sukarelawan kesihatan MyCHAMPION.
“Wellness Hub bukan sahaja menawarkan bimbingan pengurusan berat badan secara percuma, malah turut menyediakan aktiviti fizikal bersama jurulatih bertauliah. Sementara itu, WoW membawa perkhidmatan kesihatan dan promosi gaya hidup sihat terus ke kawasan pedalaman.

Abd Lajid menerima sijil penghargaan daripada Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, JAPEN Sabah, Puan Geraldine Voo.
“Jabatan Kesihatan turut melaksanakan program kesihatan di institusi pendidikan seperti Siswa Sihat di universiti dan Kelab Doktor Muda di sekolah rendah bagi menyampaikan mesej kesihatan bermula dari peringkat awal,” jelasnya.
Mengakhiri temubual, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus menyokong pelaksanaan ANMS dan mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.
“Kalau bukan kita, siapa lagi? Kita mahu masyarakat ubah sikap – contohnya, daripada merokok kepada tidak merokok. Itu perubahan yang kita mahu lihat,” tegasnya.
Untuk makluman, ANMS merupakan inisiatif bersepadu dalam membentuk budaya hidup sihat sebagai norma kehidupan secara sukarela dan berterusan menjelang tahun 2030.
-RJ-