
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor
SHAH ALAM, 16 Mei (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor terus giat membanteras penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi melalui Ops GASAK (Gas Memasak) sejak dilancarkan pada 1 Mei lalu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor Mohd Hanizam Kechek, berkata operasi berkenaan selaras dengan inisiatif pelaksanaan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR).

Seorang pegawai penguat kuasa KPDN Selangor melihat tong LPG yang disita ketika OPS GASAK di Kuala Langat pada 14 Mei lalu.
Katanya, pada 14 Mei lalu, satu serbuan di Kuala Langat berjaya merampas 103 tong LPG dengan anggaran berat 1,300 kilogram (kg) dengan nilai rampasan mencecah RM100,000.
“Dua lori turut disita sementara lima lelaki termasuk seorang warganegara ditahan untuk siasatan.
“Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan berpotensi diperluas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, di Selangor sebanyak 15 kes telah direkodkan melibatkan sitaan 5,008 kg LPG bernilai RM112,492 menerusi Ops GASAK.
“Sejak Januari, 37 kes dicatat dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2.9 juta.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian melalui saluran Whatsapp 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, talian utama KPDN 1-800-886-800 atau portal e-Aduan.kpdn,” ujarnya.
-ZS-