Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Satu Keluarga Terselamat dalam Insiden Pokok Tumbang di Tumpat

By 2 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

TUMPAT, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Detik cemas menyelubungi sebuah keluarga di Kampung Bendang Kerian apabila sebatang pokok besar tumbang dan menghempap bahagian tengah rumah mereka dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.00 petang kelmarin.

Norizan Ismail menunjukkan kawasan rumah yang dihempap pokok tumbang.

Ketika kejadian, Ismail Abd Rahman, 53, bersama isterinya, Norizan Ismail, 48, serta tiga orang anak mereka sedang berehat di dalam rumah. Menurut Norizan, mereka terdengar bunyi guruh sebelum disusuli dentuman kuat di atas bumbung rumah.

“Saya berada di bilik bersama anak ketika bunyi kuat itu kedengaran. Anak lelaki saya segera keluar dan mendapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap bumbung rumah kami,” katanya ketika ditemui.

Pokok yang tumbang itu turut menyebabkan kerosakan pada sebuah kereta milik keluarga berkenaan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Mereka bersyukur kerana terselamat dalam kejadian yang berpotensi meragut nyawa itu.

Anggota APM yang hadir memberikan bantuan.

Beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) hadir ke lokasi kejadian pagi tadi bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan pemotongan batang pokok yang menimpa rumah tersebut.

Insiden ini menjadi peringatan kepada penduduk sekitar mengenai kepentingan memantau dan memeriksa keadaan pokok besar yang berada berhampiran kawasan kediaman, terutama ketika musim hujan dan ribut.

Pihak berkuasa juga mengingatkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang keadaan pokok yang berisiko tumbang kepada pihak berwajib bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Tinggalkan komen anda