
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/PBSD Hilir Perak
TELUK INTAN, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Penetapan had umur 30 tahun bagi belia di Malaysia yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026 dilihat berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia di seluruh negara.
Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz, berkata selagi berada di kelompok belia, golongan ini seharusnya berusaha membina pasukan yang cemerlang dan menjadi pasukan yang sentiasa mencari jalan bagaimana ingin menyumbang kepada masyarakat.

Suasana ketika majlis perasmian berlangsung.
“Penglibatan golongan belia dalam aktiviti kampung seperti menghulurkan bantuan ketika majlis kenduri, program di surau mahupun program kemasyarakatan lain adalah begitu signifikan dalam usaha meningkatkan persefahaman dan perpaduan dalam masyarakat sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya ketika merasmikan Semarak Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Daerah Hilir Perak Tahun 2025, di Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan, di sini kelmarin.
Mufidah turut, berkata tarikh 15 Mei pada setiap tahun merupakan Hari Belia Negara yang diraikan sebagai simbolik kebersamaan pihak kerajaan dan belia dalam proses mentransformasi pembangunan belia serta mewujudkan suasana aman dan harmoni selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Berada di kelompok belia, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi kerana sifat mahu mencuba dan ingin tahu begitu tinggi dalam diri seseorang belia.
“Jadi, saya nasihatkan elakkan terlibat dengan gejala yang tidak sihat kerana perkara yang tidak bermanfaat tidak akan membantu membina nilai dalam diri tetapi ia menghancurkan potensi yang ada,” katanya.
Bagi Pegawai Belia dan Sukan Daerah Nor Farahin Anwar @ Anuar, penetapan had umur baharu ini memberi peluang dan ruang kepada generasi belia yang berumur 30 tahun dan ke bawah untuk mewarnai landskap dan corak kepimpinan pergerakan belia di Malaysia sekaligus mewujudkan komposisi kepimpinan yang bersifat lebih inklusif dan merangkumi semua kelompok belia sedia ada.
Nor Farahin turut berkongsi sambutan Semarak HBN semalam adalah sangat menggalakkan apabila golongan belia yang diwakili belia berpersatuan, belia massa dan belia bersekolah itu kekal setia mengikuti pelbagai aktiviti dari pagi hingga ke petang.

Mufidah (empat dari kanan) tersenyum selepas selesai menanam pokok mangga Chokanan sebagai simbolik perasmian.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Hlilir Perak dengan kerjasama Majlis Belia Daerah dan Persatuan Kelab-kelab Belia-belia Malaysia Kawasan Teluk Intan ini menawarkan lima segmen program iaitu Port Fit Malaysia, Port Jana Duit, Port Gaya & Trend, Port Santai Janji Sampai dan bacaan ikrar yang dipimpin oleh wakil Majlis Belia Daerah.
Menariknya program Semarak HBN yang bertemakan ‘Yakin Boleh’ ini dianjurkan secara serentak di seluruh daerah di Malaysia. Bagi peringkat negeri Perak, sambutan HBN 2025 akan diadakan pada 17 dan 18 Mei 2025 bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak.
-ZS-