
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Hampir 1,000 warga Gombak terpukau menyaksikan irama dikir barat yang jarang dipertontonkan di khalayak umum di Lembah Klang.

Sebahagian penonton yang hadir kelihatan terhibur dengan persembahan dikir barat yang jarang disaksikan secara terbuka di Lembah Klang.
Program yang diadakan di Dewan Terbuka Batu Caves, di sini semalam turut dihadiri Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Faizal Ismail mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua Datuk Seri Amirudin Shari merangkap Menteri Besar Selangor.
Persembahan hampir tiga jam itu dijayakan dua kumpulan dikir barat berpangkalan di Lembah Klang, iaitu Warisan Seni Samudera Gombak dan Suara Pendikir Pantai Dalam.
Menurut wakil penganjur Adha Din, konsep program adalah ‘kembali ke tahun 90-an’ bertujuan mengimbau kenangan dikir barat sebagai salah satu bentuk hiburan di zaman tersebut.
“Ini merupakan peluang kepada orang-orang Kelantan yang bermastautin di Lembah Klang, sebahagian anak-anak mereka tidak mengenali dikir barat.

Dua orang ‘Tukang Karut’ sedang menyampaikan lagu serta mesej dalam persembahan mereka.
“Generasi masa kini juga tidak pernah menyaksikan persembahan dikir barat secara fizikal, yang dahulunya menjadi hiburan utama ibu bapa mereka,” katanya ketika ditemui.
Penyanyi dikir jemputan yang turut menjayakan persembahan antaranya Irfan Jali Bunga Tanjung, Mat Chah Anak Tiong, Akim Singa Muda dan Tok Wan.
Penonton dilihat sangat terhibur dan tidak berganjak sehingga program berakhir.
-ZS-