
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Jabatan Pertanian Negeri Perak
TELUK INTAN, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan persekutuan dan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak memperuntukkan hampir RM600,000 bagi memberi manfaat kepada 73 usahawan tani di daerah Hilir Perak.

Mohd. Zolkafly (berbaju coklat) ketika menyampaikan cek cura bernilai RM212,600 kepada wakil peserta bagi Program Naik Taraf Agrofood Park (AFP) Sedia Ada.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Datuk Mohd. Zolkafly Harun, berkata ini membuktikan pihak kerajaan mengambil serius tentang pembangunan industri pertanian di negeri ini dan kita perlu memastikan langkah-langkah yang terbaik diambil untuk tidak mensia-siakan peluang yang diberi.
“Semua agensi perlu bersatu dan saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain bagi mencapai maksud tersebut,” ujarnya ketika berucap merasmikan Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Hilir Perak Tahun 2025 di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap, di sini semalam.
Pengarah Pertanian Perak Ts. Norsiyenti Othman, berkata peruntukan yang disalurkan melalui jabatannya itu bertujuan untuk memperkasa pembangunan pertanian merangkumi aspek teknologi pintar, industri asas tani, pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan dan pertanian bandar.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua petani yang menerima bantuan peruntukan tahun ini.

Kaunter Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan antara reruai yang menjadi tumpuan sejak awal pagi.
“Bagi yang tidak berjaya, anda boleh cuba untuk memohon semula pada masa akan datang,” katanya.
Penganjuran karnival di daerah itu merupakan yang pertama pada tahun ini dan akan diteruskan bagi kesemua 12 daerah di seluruh negeri.
Antara tarikan utama program ini ialah Pertandingan Hasil Ladang Terbaik peringkat daerah, Jualan Rahmah, jualan anak benih pokok, promosi buah-buahan tempatan, pameran agensi kerajaan dan swasta serta kursus dalam bidang pertanian.
Turut hadir Orang Besar Jajahan Hilir Perak Datuk Meor Redwan Mahayudin, Pegawai Khas Menteri Besar DUN Sungai Manik Mohamad Maharani Md Tasi dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Muhammad Amin Safie.
-ZS-