Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Pelajar SMK St. Mark Cakna Risiko Ancaman Siber

By 22 Mei 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: R.Vikkneswaran/Mohd Ridhuan (Seberang Perai Utara)

BAGAN, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan St. Mark, diberi pendedahan mendalam tentang bahaya dunia siber menerusi satu ceramah keselamatan digital yang diadakan di dewan sekolah tersebut, di sini semalam.

Penolong Pengarah SKMM Siti Huraiza Abdul Rahman menyampaikan perkongsian berkaitan keselamatan pengguna siber.

Ceramah yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada inisiatif pendidikan keselamatan digital sekolah itu disampaikan oleh Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pulau Pinang Siti Huraiza Abdul Rahman, yang berpengalaman luas dalam bidang keselamatan siber dan perlindungan maklumat peribadi.

Antara topik utama yang diketengahkan termasuk ancaman penipuan dalam talian (scam), risiko buli siber, bahaya pendedahan maklumat peribadi di media sosial serta langkah-langkah asas perlindungan kata laluan dan akaun digital.

“Dalam era digital ini keselamatan siber bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan, pelajar perlu didedahkan dengan risiko sebenar dan diajar cara melindungi diri semasa menggunakan Internet,” tegas Siti Huraiza dalam sesi ceramah tersebut.

Pelajar turut memberikan penyertaan aktif dalam sesi kuiz yang dijalankan.

Program turut diserikan dengan sesi soal jawab interaktif serta kuiz keselamatan digital yang menarik perhatian para pelajar sekali gus meningkatkan tahap kesedaran mereka terhadap kepentingan menjaga keselamatan diri dalam talian.

Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku merangkap wakil pengetua sekolah Siti Hajar Abdul Rahman, berkata pihak sekolah sentiasa komited bukan sahaja dalam pencapaian akademik malah dalam mendidik pelajar menjadi pengguna bijak dan beretika dalam alam maya.

“Kami percaya literasi digital perlu dipupuk seawal mungkin agar pelajar bersedia menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan,” ujarnya.

Pihak sekolah berharap program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala bagi memperkukuh pengetahuan dan keupayaan pelajar menghadapi cabaran dunia maya yang kian kompleks.

-ZS-

Tinggalkan komen anda