Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

U.n.i Klinik Lebar Sayap ke Bumi Kenyalang

By 12 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Lim Poh Choo (Sarawak)

KUCHING, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Amanah Rakyat (MARA), melalui Bahagian Infrastruktur Komersial, terus komited dalam memperluas kemudahan kesihatan menerusi penubuhan U.n.i Klinik ke negeri Sarawak.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, dalam Majlis Perasmian U.n.i Klinik di Metrocity Kuching, Matang kelmarin, menyatakan bahawa sehingga kini tiga buah U.n.i Klinik telah berjaya ditubuhkan di Sarawak – bermula di Miri, diikuti Bintulu, dan terbaru di Kuching.

Dr. Asyraf (tengah) merasmikan U.n.i Klinik Metrocity di Kuching sebagai simbol perluasan kemudahan kesihatan MARA ke Sarawak.

Menurut beliau, pencapaian ini adalah hasil kejayaan pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) yang diperkenalkan MARA sejak tahun 2018.

“Matlamat utama program ini bukan sahaja meningkatkan peluang kepada usahawan untuk memiliki perniagaan profesional sendiri, malah turut memberi limpahan manfaat kepada masyarakat dengan menyediakan peluang pekerjaan serta fasiliti perubatan yang berkualiti tinggi,” ujar beliau.

Sementara itu, Dr. Eza Suzia Suhardi, 34, Residen Doktor di U.n.i Klinik Metrocity, menyatakan harapannya agar klinik ini dapat membantu lebih ramai pesakit yang memerlukan rawatan segera memandangkan klinik kerajaan sering sesak dan memerlukan masa menunggu yang lama.

Dr. Eza (dua dari kiri), Residen Doktor U.n.i Klinik Metrocity, berharap klinik ini bantu pesakit dapatkan rawatan segera tanpa menunggu lama.

“Ini merupakan satu alternatif penting untuk mereka yang tidak sihat mendapatkan rawatan tanpa perlu menunggu terlalu lama,” jelasnya.

Klinik yang akan beroperasi secara rasmi 24 jam sehari mulai 27 Januari 2025 ini menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan klinik swasta lain seperti pemeriksaan kesihatan, rawatan ibu mengandung dan kanak-kanak, pembedahan kecil, serta pelbagai lagi prosedur kesihatan lain.

Secara keseluruhan, MARA telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM25 juta kepada usahawan yang mengendalikan semua cawangan U.n.i Klinik di seluruh negara. Di samping itu, mereka turut diberikan latihan keusahawanan dan menggunakan jenama tunggal “U.n.i Klinik” di bawah naungan MARA.

-RJ-

Tinggalkan komen anda