
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)/AADK Kedah
PENDANG, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Mencatatkan kes paling tinggi bilangan penagih dan penyalahgunaan dadah serta bahan terlarang di Malaysia iaitu seramai 1,286 orang bagi setiap 100 ribu penduduk sehingga Mac tahun ini menjadikan daerah Pendang telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Kedah 2025.

Sekitar Majlis Perasmian Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Kedah 2025
Objektif utama penganjuran program oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat serta memperkukuh komitmen semua pihak dalam usaha memerangi ancaman bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
Ikon Antidadah daerah Pendang merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Belia daerah Pendang, Azhar Abd Ghani ketika ditemui memaklumkan bahawa program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi semalam diadakan bagi membawa mesej yang jelas kepada masyarakat tentang bahaya dadah dan kesan buruknya kepada masyarakat setempat.

Tetamu kehormat bergambar bersama Unit Pameran Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Penjara Malaysia
“Dengan bertemakan Lebih Baik Cegah dan Pencegahan Dadah Tanggunggjawab Bersama ini membuktikan kerajaan khususnya AADK mengambil satu usaha serius bagi memperkasakan peranan setiap lapisan masyarakat dalam membanteras masalah ini secara menyeluruh.
“AADK menyeru orang ramai agar menjauhkan diri dari bahaya dadah seiring dengan tagline yang dibawakan pada hari ini iaitu Dadah: Tak Payah, Tak Nak,” ujarnya, semalam.
Majlis perasmian program yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah Mejar (B) Mansor Zakaria itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Tuan Khairul Anwar Bachok, Pengarah AADK Negeri Kedah Khairul Anwar Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai Datuk Dr. Mohd Hayati Othman serta Pegawai Daerah Pendang Nasrun Datuk Mohd Sheriff.
Keadaan cuaca hujan tidak menghalang orang ramai mengunjungi Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Tiang bagi mendapatkan perkhimatan-perkhidmatan yang turut disediakan bagi memeriahkan program seperti Pocket Talk oleh Jabatan Kesihatan (JKN) Kedah, Jualan Rahmah, pameran bergerak jabatan kerajaan, pertandingan gubahan, permainan interaktif e-Sport, pertandingan sepak penalti, aktiviti memanah, pendermaan darah, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, perkhidmatan tukar minyak enjin motorsikal secara percuma, khidmat nasihat kaunseling dan sebagainya.
-ZS-