
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Dungun)
DUNGUN, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Karnival Hari Air Sedunia (HAS) Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung meriah selama dua hari dari 24 hingga 25 Mei lalu di Taman Tasik Tanjung Sura, di sini, berjaya menarik kehadiran ratusan pengunjung dengan pelbagai aktiviti berunsur pendidikan alam sekitar dan kelestarian.

Hazara Abd Razak (kanan) telah menghantar sebanyak 12.6 kilogram minyak masak terpakai.
Antara tarikan utama ialah pengumpulan minyak masak terpakai oleh syarikat swasta Sally Global Enterprise yang menerima sambutan luar biasa daripada penduduk sekitar.
“Sambutan sangat menggalakkan. Ramai penduduk tampil menghantar sisa minyak masak mereka,” ujar wakil syarikat Sally Global Enterprise Muhammad Aiman Mohd Arifin.
Ujarnya, sebanyak 100 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpul sepanjang program dan syarikat membayar RM2.70 sekilogram kepada penyumbang.
Hazara Abd Razak, 61, dari Kampung Sura Hujung, tersenyum puas selepas berjaya menghantar 12.6 kilogram minyak masak.

Program ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk di sekitar Dungun.
“Saya dapat duit poket, sambil bantu jaga alam sekitar,” katanya semalam.
Turut sama, Khalilah Zakaria, 51, dari Kampung Pelandang, Pulau Serai yang membawa 29 kilogram minyak masak terpakai.
“Program ini sangat bagus untuk beri kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya persekitaran bersih dan bebas pencemaran,” ujarnya.
Karnival ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran reruai melibatkan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan swasta serta gotong-royong Geng Plastik Ija.
-ZS-