
Laporan/Foto: Aishah Latip / Othman Morni / Suut Mohamad Musa (Sarawak)
LUNDU, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Pesta DuanWu (Kuih Bak Chang) telah menjadi simbol penyatuan masyarakat di daerah Lundu.
Keenakan kuih ini bukan sahaja terletak pada rasanya, malah turut menggambarkan semangat gotong-royong masyarakat setempat. Tradisi ini sekali gus menjadi platform penting dalam memupuk keharmonian serta perpaduan antara kaum.
Menurut Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup yang mewakili ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, Pesta Duanwu merupakan satu tradisi yang kaya dengan nilai sejarah, budaya dan kekeluargaan, yang wajar dipelihara oleh generasi akan datang.

Kuih Bak Chang yang telah siap dimasak.
Tambahnya lagi, komuniti MADANI berperanan sebagai platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara kaum serta menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.
“Kuih ini juga menjadi lambang perkongsian budaya dan sebanyak 100 biji kuih bak chang telah dimasak secara gotong-royong oleh ahli-ahli Komuniti MADANI Kampung Seketi Cina, yang terdiri daripada masyarakat Cina dan Melayu,” katanya semalam.
Jelas beliau, program sebegitu turut memperlihatkan semangat kebersamaan masyarakat dalam menjayakan sesuatu acara merentas kepelbagaian budaya, menjadikan festival ini satu sambutan yang menyeronokkan dan penuh makna.
“Tambahan pula, program ini menyokong usaha memelihara warisan budaya tempatan seperti pembuatan kuih chang agar tidak dilupakan oleh generasi muda,” katanya lagi.
Aziz turut menekankan bahawa kejayaan sambutan ini adalah hasil kerjasama erat seluruh komuniti MADANI, menjadikan daerah Lundu sebagai daerah yang harmoni antara kaum.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Komunikasi Korporat, Sri Kestury Mohammed Zamhari yang mewakili Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak berkata, komuniti MADANI memainkan peranan penting dalam memerangi penyebaran berita palsu dan memastikan penyampaian maklumat sahih kepada masyarakat.

Bong Shin Shiong turut memberi tunjuk ajar dan demonstrasi kuih bak chang kepada Sri Kestury (dua kiri) dan Aishah (dua kanan).
“Komuniti MADANI sangat membantu kerajaan dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan boleh dipercayai,” jelasnya.
Majlis turut diserikan dengan sesi perkongsian bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai jenayah siber di daerah Lundu serta penghayatan Rukun Negara oleh Pegawai Penerangan Daerah Lundu, Aishah Latip.
Sebagai acara sampingan, pertandingan mewarna bertemakan Festival Perahu Naga dan Kuih Bak Chang turut diadakan dengan kerjasama Persatuan Chung Hua Lundu, sekali gus menyemarakkan lagi suasana sambutan Pesta Duanwu tahun ini.
-RJ-