
Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Mazlin Basir (Pontian)
PONTIAN, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Isu penyalahgunaan dadah bukanlah perkara baharu, justeru usaha memeranginya perlu bermula dari akar umbi, iaitu institusi keluarga.

Pameran agensi kerajaan turut diadakan sempena Program Keluarga Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah (JIHAD) KBT Mukim Pontian.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Pontian Muhammad Haziq Abdul Latif menegaskan bahawa pencegahan tidak boleh dipandang ringan dan menekankan kepentingan Program Keluarga JIHAD (Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah) yang dilaksanakan di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Mukim Pontian.
“Usaha ini sangat signifikan kerana ia bermula dari akar umbi iaitu keluarga. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada pihak berkuasa kerana tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Keluarga JIHAD KBT Mukim Pontian serta program Pontian Di Hatiku Zon Pontian A Tahun 2025 dan Program Jiwa@Komuniti Kampung Maju Jaya: Sembang Santai yang diadakan di Balai Raya Kampung Sri Mahkota, di sini semalam.
Menurut Haziq, kerajaan persekutuan dan negeri percaya bahawa semua pihak mempunyai peranan besar dalam membanteras ancaman dadah bermula dari institusi keluarga sehingga ke peringkat komuniti.

Penduduk dalam Mukim Pontian yang turut hadir dalam program hari ini.
“Institusi kekeluargaan merupakan medium pendidikan utama, justeru ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan menjadi contoh teladan dan memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak, khususnya dalam mengelakkan mereka daripada terjebak dalam kegiatan penagihan dadah.
“Komunikasi yang terbuka dan hubungan kekeluargaan yang erat adalah kunci utama dalam membina keluarga yang sihat dan bebas dari ancaman dadah,” jelasnya.
Program tersebut turut diserikan dengan pameran oleh agensi-agensi berkaitan dan edaran bahan penerbitan oleh Pejabat Penerangan Daerah Pontian.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Johor Irmawati Ismail dan Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pontian Qiatuddin Aliyuddin.
-ZS-