
Laporan/foto: Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Program Tuisyen Rakyat RISDA adalah bertujuan untuk membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa khasnya anak pekebun kecil yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Majlis Perasmian Program Tuisyen Rakyat Risda Bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor disempurnakan oleh Pengerusi RISDA.
“Pendidikan merupakan antara kunci utama dalam merealisasikan pembinaan masa depan yang lebih cerah, yang akhirnya dapat memastikan keluarga pekebun kecil mampu meningkatkan taraf kehidupan yang lebih baik.
“Selain itu, program sebegini dapat memberi impak positif dalam peningkatan akademik anak-anak pekebun kecil RISDA. Semoga usaha ini membuka peluang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi,” ujar Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Manndzri Nasib.
Manndzri, berkata demikian ketika perasmian program tersebut bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor Tahun 2025 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Saujana, di sini kelmarin.

Penyerahan cek cura kepada sekolah terpilih.
Sebanyak 20 buah sekolah dalam negeri Johor melibatkan seramai 300 pelajar telah dipilih dengan peruntukan sebanyak RM250,000.
Turut diadakan, simbolik penyerahan cek cura kepada penerima sekolah yang terlibat.
Hadir bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja Rasyidah Ismail, ADUN Panti Hahasrin Hashim, Pengarah RISDA Negeri Johor Muhd. Khairuddahri Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Yahya Mohamed.
-ZS-