
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Rosdin Sabni (Kementerian Komunikasi)
PUTRAJAYA, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) adalah sebagai satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan tertinggi kepada pengamal media di Malaysia.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, berkata HAWANA yang merupakan acara penting dalam kalendar Kementerian Komunikasi bukan sekadar acara sambutan.
“Tapi ia adalah tempat yang penting untuk kita perkukuhkan, pereratkan ekosistem media, menghargai peranan yang dimainkan oleh para wartawan serta memperkukuh nilai profesionalisme dan kebebasan bersuara yang bertanggungjawab di (dalam) kalangan pengamal-pengamal media,” katanya di Perhimpunan Bulan Kementerian Komunikasi, di sini sebentar tadi.
Menurutnya lagi, pada menjelang HAWANA nanti beliau berharap dapat mengumumkan pembentukan atau langkah-langkah pertama pembentukan Majlis Media Malaysia.
“Saya percaya dengan pembentukan Majlis Media Malaysia ini rakan-rakan media akan mempunyai satu lagi wadah untuk mereka duduk berbincang, memutuskan beberapa perkara bagi kebaikan dan kelangsungan ekosistem media,” katanya.
Pada 19 Mac lalu Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 (RUU MMM 2024) yang antara lain bertujuan menjadikan media di negara ini menjadi lebih demokratik, bebas dan beretika.
Pada majlis tersebut, Fahmi turut memberitahu kepentingan Deklarasi Kuala Lumpur atau ASEAN 2025 yang mengandungi enam dokumen penting yang meletakkan beberapa paksi termasuk aspek menjaga rakyat, kesalinghubungan yang lebih erat dan baik dalam kalangan negara-negara ASEAN menjadi kesinambungan kepada usaha Malaysia ke arah integrasi yang lebih mantap dalam kalangan negara-negara anggota.
“Kita juga berada di titik temu dan titik tengah di antara blok-blok ekonomi besar dalam dunia yang membezakan Asia Tenggara, ASEAN khususnya dengan banyak blok ataupun rantau-rantau yang lain ialah kestabilan yang ada di rantau kita dengan persefahaman di antara negara-negara yang memungkinkan kita membangun dan menikmati pertumbuhan ekonomi yang rancak di samping memastikan tidak ada komuniti yang tertinggal jauh ke belakang,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
-RI