
Laporan/Foto: Sumardi Sugiman / Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Penangguhan Pesta Tasik Biru 2025 dan Pertandingan Akhir Mrs Tasik Biru telah berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat setempat dan pengunjung serta memperlihatkan keharmonian masyarakat Bau sekali gus menyerlahkan potensi daerah ini sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan di Pentas Utama Pesta Tasik Biru Resort City, di sini, kelmarin.

Lo Khere Chiang menyampaikan ucapan sempena Majlis Penangguhan Pesta Tasik Biru 2025 di Pentas Utama Tasik Biru Resort City, Bau, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang telah hadir bersama isteri, Datin Margaret Lim sebagai tanda sokongan dan memeriahkan acara sekali gus beliau berucap menyempurnakan majlis berkenaan.
“Syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini, khususnya Pejabat Daerah Bau, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan, para sukarelawan, usahawan tempatan serta seluruh komuniti Bau,” katanya.

Majlis penutupan Pesta Tasik Biru 2025 diserikan dengan ucapan Eddy Nayoi.
Tambahnya, tanpa kerjasama yang diberikan tidak mungkin Pesta Tasik Biru pada tahun ini dapat dilaksana dengan lancar dan jayanya.
“Tahun ini cukup istimewa kerana kita turut meraikan Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau serta Majlis Perasmian Tasik Biru Resort City, satu lagi mercu tanda baharu yang bakal memperkukuh kedudukan Bau sebagai hab pelancongan,” tambahnya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi.

Fellicia Pamela raih gelaran Mrs Tasik Biru 2025; Ennelia dan Shinia di tempat kedua dan ketiga.
Dalam pertandingan akhir Mrs Tasik Biru 2025, Fellicia Pamela berjaya menewaskan peserta lain untuk dinobatkan sebagai juara. Tempat kedua dimenangi oleh Ennelia Johnek, manakala tempat ketiga disandang oleh Shinia James. Voon Ngat Jan dan Annette Diseng masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.
-RJ-