
Laporan/foto: Noor Azian Saad/Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 2 Jun (MalaysiaAktif) – Musim durian sememangnya dinanti-nantikan oleh penggemarnya, bukan sahaja untuk mendapatkan durian yang murah dan sedap, malah bagi anak perantau, ia menjadi alasan untuk pulang ke kampung halaman bagi menikmati pelbagai jenis durian di dusun milik ibu bapa masing-masing.

Kedai Buah Abang Brie yang terletak di tengah-tengah kawasan kampung di Sungai Putat, Pendang.
Sabri Ishak, 54, mengambil peluang memulakan perniagaan menjual buah durian dikenali dengan nama Kedai Buah Abang Brie yang terletak di Sungai Putat, di sini sejak tahun 2020 bagi membolehkan orang ramai yang tidak memiliki dusun durian menikmati raja buah itu pada harga yang berpatutan.
Sabri bersama isteri, anak, dan menantu yang mengusahakan gerai ini secara bersama sentiasa memastikan hanya buah durian dengan kualiti terbaik disajikan kepada pelanggan yang diperolehi dari Kampung Kura dan Sungai Siput.
Mendapat sambutan menggalakkan dan permintaan tinggi daripada pelanggan tetapnya, beliau mencipta kelainan tiga tahun kemudian dengan memperkenalkan hidangan istimewa iaitu cendol pulut durian yang kini menjadi tarikan utama pengunjung dari seluruh negeri Kedah termasuk dari negeri-negeri jiran seperti Perlis dan Pulau Pinang.
Sabri ketika ditemui semalam memaklumkan bahawa cendol pulut durian yang ditawarkan oleh Kedai Buah Abang Brie menggabungkan kelembutan pulut yang dikukus, keharuman santan segar dan kemanisan buah durian yang berkualiti untuk memastikan pelanggan berpuas hati dengan setiap kunjungan.
“Hidangan ini bukan sahaja memikat selera, tetapi juga mencipta pengalaman kulinari yang unik bagi para pengunjung,” ujarnya.
Gerai ini beroperasi hanya semasa musim durian demi memastikan kesegaran dan kualiti buah yang terbaik dijual.

Sabri Ishak atau Abang Brie sedang menunjukkan antara buah durian yang terdapat di Kedai Buah Abang Brie.
Manakala pada musim puncak, pengunjung dari sekitar utara Semenanjung akan datang untuk menikmati hidangan istimewa ini seterusnya menjadikan gerai ini sebagai destinasi wajib bagi pencinta durian, lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah seperti hari ini.
Apabila musim durian berakhir, Sabri yang lebih mesra dipanggil Abang Brie berhasrat untuk mengembangkan gerai jualan cendol pulut durian ini dengan memperkenalkan variasi hidangan lain yang menggunakan bahan tempatan demi memastikan gerai ini terus menjadi pilihan pengunjung sepanjang tahun.
Dengan usaha gigih serta inovasi dalam perniagaan, Abang Brie telah berjaya mengangkat Kedai Buah Abang Brie sebagai salah satu destinasi popular bagi pemburu durian di Pendang secara tidak langsung menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negeri Kedah.
-ZS-