
Laporan/foto: Muhamad Azrul Abdullah (Padang Terap)
PADANG TERAP, 6 Jun (MalaysiaAktif) – Che Puan Besar Kedah, Hajah Haminah Haji Hamidun, berkenan mencemar duli ke Majlis Kurniaan dan Sumbangan Aidiladha Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap, kelmarin.

Che Puan Besar Kedah menyampaikan plak cenderahati daripada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah.
Majlis yang penuh makna ini diadakan bagi meraikan serta menyampaikan sumbangan kepada 20 orang pelajar yatim berusia antara 8 hingga 16 tahun dari sekitar daerah Padang Terap, sebagai persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
Dalam ucapan alu-aluan, Pegawai Daerah Padang Terap Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad, merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku untuk bersama-sama memeriahkan majlis serta menyantuni anak-anak yatim yang diraikan.
“Keberangkatan Tuanku amat besar maknanya dan mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan anak-anak yatim di daerah ini.
“Semoga keberangkatan Tuanku menjadi ilham dan dorongan kepada lebih ramai pihak untuk turut sama menghulurkan sumbangan,” ujarnya.

Ucapan alu-aluan oleh Pegawai Daerah Padang Terap.
Menurutnya lagi, sumbangan yang disampaikan diharap dapat membantu meringankan beban para penerima, di samping menyemarakkan semangat Aidiladha yang menekankan nilai keikhlasan, pengorbanan dan kebersamaan.
Turut hadir Pengurus Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah Rosli Zainal, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah) Padang Terap Mastura Sapifee, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Padang Terap Azwan Azri Akashah John dan Penghulu-Penghulu Mukim Daerah Padang Terap.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform menyantuni anak-anak yatim, malah memperkukuh hubungan antara institusi diraja, pihak berkuasa tempatan, yayasan dan masyarakat setempat dalam memelihara kebajikan golongan yang memerlukan.
-ZS-