Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Durian Tok Titi Akar Menghantui Pencinta Durian

By 6 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)

PENDANG, 7 Jun (MalaysiaAktif) – Musim durian seringkali dinanti-nantikan oleh pencinta raja buah dan kemenjadian buah durian pada tahun ini seolah-olah sebuah pesta apabila kawasan tumpuan utama di daerah Pendang iaitu Titi Akar, Padang Durian dan Kampung China dipenuhi gerai-gerai durian yang meriah dengan kunjungan orang ramai sejak seminggu yang lalu. Buah durian di kedai Durian Tok diambil dari dusun penduduk tempatan sekitar kawasan Titi Akar.

Kawasan ini yang saban tahun menjadi tumpuan ketika musim durian kembali menggamit pengunjung dari pelbagai daerah untuk menikmati aneka jenis buah durian dengan harga yang murah dan berbaloi.

Kedai menjual durian yang popular dengan nama Durian Tok Titi Akar terletak 18 kilometer dari Pekan Pendang menjadi tumpuan orang ramai kerana daya tarikannya yang istimewa dengan suasana kampung yang selesa untuk pengunjung serta aneka pilihan durian berkualiti tinggi dengan gred terbaik hingga mampu memikat hati sesiapa sahaja yang datang merasainya.

Pengusaha kedai tersebut Salika E Friang ketika ditemui kelmarin, memberitahu beliau hanya menjual buah-buahan terbaik seperti IOI, Musang King, Duri Hitam dan beberapa jenis buah kampung dengan gred premium.

“Bagi sesiapa yang ingin dapatkan buah durian kahwin atau buah berjenama seperti IOI, Musang King dan Duri Hitam boleh didapati di kedai kami pada harga yang sangat berpatutan.

“Pengunjung juga dialu-alukan untuk membawa pulut dari rumah kerana kami menyediakan ruang yang selesa untuk menikmati durian segar di sini,” ujarnya.

Kedai yang beroperasi setiap hari bermula seawal pukul 10.00 pagi hingga pukul 7.00 petang itu sentiasa dipenuhi pengunjung lebih-lebih lagi minggu ini memandangkan masih berada dalam suasana cuti sekolah dan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Pelanggan kami bukan sahaja dari sekitar daerah Pendang malah ada yang datang dari luar negeri Kedah pasti akan kembali semula ke kedai Durian Tok kerana yakin dengan kualiti buah yang kami tawarkan,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda