Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Skrin Gergasi Satukan Warga Kampung, Semarak Semangat Bola dan Perpaduan

By 12 Jun 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohd Hafiz Aziz (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Suasana Kampung Gemuroh semalam gamat dengan sorakan penduduk setempat berkumpul menyaksikan tayangan skrin besar perlawanan bola sepak kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam.

Program anjuran Komuniti MADANI Bukit Berangan itu bukan sekadar tentang menyokong skuad Harimau Malaya, tetapi menjadi medium menyatukan masyarakat berbilang latar belakang dalam suasana penuh semangat kesukanan dan kekitaan.

Sebahagian peminat yang hadir menyaksikan skrin besar perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Vietnam.

Timbalan Ketua Komuniti MADANI Bukit Berangan Muhammad Hanafi Datuk Hassan, berkata sambutan hangat daripada penduduk jelas membuktikan bahawa bola sepak menjadi salah satu medium menyatukan rakyat.

“Kita mahu jadikan sukan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat tidak kira usia, kaum atau latar belakang.

“Tayangan skrin besar ini bukan sekadar tontonan bola sepak semata-mata. Ia mencipta ruang untuk kita berkumpul, berinteraksi dan menyemai semangat perpaduan sambil menyokong pasukan negara,” katanya.

Tambahnya lagi, program seumpama ini dapat memperkukuhkan perpaduan komuniti dan memupuk nilai murni melalui pendekatan sukan dan aktiviti sosial.

“Inisiatif ini jelas membuktikan bahawa semangat sukan mampu melangkaui batas padang dan menjadi ejen penyatuan masyarakat, seiring aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Muhammad Hanafi menyampaikan hadiah jersi kepada pemenang kuiz.

Lebih istimewa, acara tersebut turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti tayangan video motivasi dan patriotik, kuiz bertemakan bola sepak, serta jamuan makanan tempatan yang menambah kemeriahan malam.

Turut diadakan ialah penyampaian sumbangan barangan asas kepada keluarga yang memerlukan, membuktikan semangat kebersamaan bukan sekadar laungan tetapi dilaksanakan dengan tindakan.

Malam gemilang itu berakhir sekitar pukul 12 tengah malam dengan sorakan bergema apabila Malaysia menamatkan perlawanan dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam, mencetuskan rasa bangga dan puas dalam kalangan para penyokong.

-ZS-

Tinggalkan komen anda