
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Perbadanan Labuan
LABUAN, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Trek Ekologi Taman Botani Labuan adalah satu inisiatif hijau yang menggabungkan elemen konservasi, pendidikan dan rekreasi dalam satu destinasi ekopelancongan yang unik.

Orang awam dilihat melalui Trek Ekologi Taman Botani Labuan.
Menurut satu kenyataan Perbadanan Labuan (PL), trek ekologi sepanjang 650 meter itu direkabentuk bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan flora tempatan, termasuk spesies tumbuhan nadir dan eksotik yang dikatalogkan khas untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.
“Sepanjang laluan itu, papan interpretasi disediakan bagi memberi maklumat berguna tentang biodiversiti hutan, kepentingan pemeliharaan alam dan peranan komuniti dalam menjaga warisan semula jadi.

Mohd Sukuran (kanan) bersama pegawai kanan PL merasai sendiri pengalaman melalui trek ekologi Taman Botani Labuan.
“Trek Ekologi itu bukan sekadar laluan riadah, malah merupakan platform pembelajaran terbuka kepada pelajar, penyelidik dan masyarakat umum sejajar dengan komitmen kami untuk menjadikan Taman Botani Labuan sebagai pusat pendidikan alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti yang unggul di rantau ini.” menurut kenyataan itu kelmarin.
Majlis perasmian trek itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib dan turut dihadiri oleh wakil-wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin masyarakat setempat.
-ZS-