
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Berdasarkan data Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sehingga bulan Mac 2025 negeri Perlis telah mencatatkan penurunan sebanyak 7 peratus iaitu sebanyak 1,807 orang berbanding 1,942 penyalah guna penagih dadah serta bahan terlarang bagi tempoh sama berbanding tahun lepas.

Baginda turut berkenan mendengar penerangan oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh mengenai beberapa jenis dadah berbahaya.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Datuk Ruslin Jusoh, kategori dadah yang menjadi pilihan utama bagi penyalah guna dan penagih di Perlis adalah dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) dengan majoriti 78.2 peratus atau 1,413 orang penagih bagi tempoh sehingga Mac 2025.
“Kadar penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang berdasarkan 100,000 penduduk di Perlis pula adalah sebanyak 609 orang penagih berbanding 654 bagi tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.
Ruslin berkata demikian ketika selepas selesai mengiringi Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Program Kayuhan Berinformasi bersama DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Perlis 2025 yang di adakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ali Ahmad, di sini hari ini.
“Jenis dadah kedua tertinggi pula ialah jenis Opiat iaitu sebanyak 21 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalahgunaan dadah dan bahan di Perlis.
“Justeru, menerusi dapatan ini, AADK akan mempergiatkan program pencegahan di seluruh negara termasuk di Perlis sebagai usaha memastikan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah atau bahan dapat diturunkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Dalam Negeri dengan kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan komuniti perlu digembleng demi keselamatan dan kesejahteraan sejagat.
Mengenai program kayuhan berinfomasi ini pula, Ketua Pengarah AADK itu memaklumkan bahawa aktiviti kayuhan tersebut bermula dan berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ali Ahmad, Mukim Seriab sejauh 12 kilometer dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya dadah dengan cara menyampaikan mesej ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’ secara inklusif kepada masyarakat pelbagai lapisan melalui pendekatan santai, sihat dan terbuka.

Demontrasi mengesan bahan terlarang juga diadakan oleh Unit Anjing Pengesan, Jabatan Kastam Negara.
” Selain itu, aktiviti ini juga mampu memperkukuh peranan komuniti dalam pencegahan dadah dengan menggalakkan penglibatan komuniti termasuk belia dan keluarga dalam usaha mewujudkan persekitaran bebas dadah.
“Menerusi aktiviti ini juga, kempen mempromosi gaya hidup sihat tanpa dadah dapat diterapkan dengan menggabungkan pelbagai aktiviti fizikal seperti berbasikal, berjalan kaki dan senamrobik dengan mesej,” jelasnya.
Pelbagai aktiviti selingan seperti pertandingan memasak makanan tradisional, sukan rakyat, jualan produk Sokongan Untuk Kepulihan Anda (SUKA) AADK dan Jualan Rahmah MADANI, pameran agensi dan demonstrasi anjing pengesan turut diadakan bagi memeriahkan program.
Turut hadir Pengarah AADK negeri Perlis Mohamad Zaki Farkhi Ahmad.
-ZS-