
Laporan/foto: Muhammad Arief/ Hafizah Rahim (Marang)
MARANG, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Permainan dam aji mungkin dilihat sekadar sebagai satu aktiviti santai untuk mengisi masa lapang di warung-warung kopi namun sebenarnya permainan ini turut berperanan sebagai saluran penyampaian maklumat kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Acara santai dam aji berlangsung hingga ke sebelah petang.
“Dalam era kemajuan teknologi yang pesat, rakyat semakin bergantung kepada pelbagai platform media sosial untuk mendapatkan maklumat serta berita semasa berkaitan kerajaan dan hal-hal lain,” ujar Ketua Komuniti MADANI Kampung Pak Madah Ramlah Salleh, ketika ditemui dalam program JIWA @ Komuniti MADANI Kg Pak Madah: Sembang Santai, di sini kelmarin.
Tambahnya lagi, melalui aktiviti santai seperti dam aji, maklumat mengenai dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara bersemuka di peringkat komuniti.

Ramlah mempromosikan inisiatif kerajaan kepada komuniti yang hadir.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, malah turut memperkukuh kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan,” jelasnya.
Selain itu, Ramlah turut mempromosikan pelbagai inisiatif kerajaan seperti STR, SARA dan lain-lain melalui program santai tersebut bersama masyarakat setempat di Kampung Tebakang.
Aktiviti ini mendapat sambutan meriah daripada pelbagai lapisan umur serta penyertaan aktif penduduk tempatan.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Marang Adawiyah Othman serta beberapa pemimpin masyarakat setempat.
-ZS-